PKR, DAP Bawa Haluan Sendiri, Lancar Manifesto Berasingan

Kerjasama DAP dan PKR melalui Pakatan Harapan (PH) semakin berantakan dan masing-masing membawa haluan sendiri berikutan perebutan kerusi di beberapa kawasan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 ini.

 

Keadaan ini dapat dilihat apabila PKR dan DAP mengambil keputusan melancarkan manifesto secara berasingan dan menggunakan tema serta fokus yang berbeza memperlihatkan ketidaksepakatan sesama mereka.

 

Semalam PKR melancarkan manifesto bertemakan ‘Demi Sarawak’ yang memfokuskan lima perkara utama tanpa melibatkan kehadiran pemimpin DAP.

 

PKR turut menggariskan 18 pelan yang akan dilaksanakan melibatkan kedaulatan dan urus tadbir negeri, kebebasan beragama, keadilan ekonomi selain memperkasa masyarakat setempat.

 

Manakala hari ini tiba giliran DAP melancarkan manifesto mereka dengan tema ‘Berani Ubah’ di ibu pejabat parti itu di Kuching juga tanpa kehadiran jemputan dari kalangan pemimpin PKR.

 

Manifesto DAP antaranya memfokuskan isu penambahbaikan dasar selain menjanjikan perkongsian kekayaan serta pembaharuan geran tanah secara automatik dan isu hakmilik tanah NCR.

 

Pada PRN Sarawak Ke-10 tahun 2011 yang lalus, DAP dan PKR mencapai kesepakatan berkongsi aspirasi dan melancarkan manifesto bersama bertemakan ‘Ketuanan Rakyat’ dengan kehadiran semua pemimpin utama masing-masing semasa pelancarannya.

 

Kesepakatan pada PRN itu membolehkan DAP dan PKR meraih lebih undi termasuk merampas lapan kerusi DUN dari BN. Kali ini berbeza, masing-masing bawa haluan sendiri, hilang kesepakatan dan kedua-duanya kini saling berebut kerusi.

 

Berbeza dengan kedua-dua pembangkang dari Semenanjung itu, BN Sarawak yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan kerjasama parti komponen lain telah melancarkan manifesto bertemakan ‘Beri Peluang Kepada Team Adenan’.

 

Pelancaran manifesto berkenaan dihadiri semua pemimpin utama parti komponen memperlihatkan kesatuan dan kesepakatan mereka untuk merealisasikan semua janji dan perancangan untuk lima tahun akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.