Pelajar Kelam-Kabut, Ular Berbisa Masuk Makmal Ketika Belajar

LABUAN — Beratus-ratus pelajar di sebuah sekolah menengah di sini kelam-kabut apabila mengetahui bahawa seekor ular tedung ditemui di dalam makmal sekolah itu semalam.

 

Ular berwarna kelabu sepanjang dua meter itu dijumpai pelajar SMK Pantai di sini ketika mereka sedang belajar di makmal berkenaan pada 11 pagi semalam, dan segera memaklumkannya kepada guru.

 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin memberitahu Bernama bahawa bilik gerakan jabatan itu menerima panggilan daripada guru berkenaan pada 11.25 pagi, dan satu pasukan segera dihantar ke sekolah itu.

 

“Pasukan kami segera bergegas ke tempat itu sebelum ular berkenaan lari ke tempat lain. Amat berbahaya sekiranya ular tedung itu pergi ke kawasan sekolah.

 

“Kami mengambil langkah lebih berwaspasda dalam menangani ular tedung kerana ia berbahaya. Nasib baiklah tiada murid yang cedera,” katanya.

 

Beliau berkata pasukan berkenaan mengambil masa hanya beberapa minit untuk menangkap ular itu dan menyerahkannya kepada Jabatan Hidupan Liar. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.