PAS Takkan Campur Isu MB Terengganu – Abdul Hadi

SHAH ALAM – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa beliau terlalu sibuk dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan tidak sempat untuk mengikuti perkembangan pelucutan darjah kebesaran yang dianugerahkan Sultan Terengganu kepada Menteri Besarnya, Ahmad Razif.

 

Malah ujarnya, PAS tidak akan masuk campur berikutan ia adalah masalah rumahtangga Umno Barisan Nasional (BN).

 

“Setakat ini saya tidak mahu memberi komen, saya akan teliti dan mendapatkan maklumat mengenai perkara itu tetapi ingin ditegaskan masalah yang berlaku itu hanya membabitkan rumah tangga UMNO negeri.

 

“Saya tidak sempat mengikuti perkembangan mengenai pelucutan jawatan itu kerana berada di Sarawak bagi membantu calon PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

 

Kelmarin, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Terengganu mengesahkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat lalu.

 

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

 

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pelucutan darjah kebesaran Ahmad Razif itu disebabkan Sultan Mizan murka dengan ucapan menteri besar.

 

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah intipati ucapan itu, sehingga baginda mengambil tindakan sebegitu.

 

Ini bukan kali pertama PAS menjarakkan diri daripada krisis yang melanda Umno BN Terengganu.

 

Kerajaan Umno BN dinegeri itu sebelum ini hampir tumbang selepas ADUN Kijal yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang DUN negeri itu awal Mac lalu.

 

Bagaimanapun, usul itu ditolak Speaker DUN, Datuk Mohd Zuber Embong.

 

PAS ketika itu digesa parti-parti pembangkang agar bertindak dan menggambilalih kerajaan negeri.

 

Namun, PAS enggan berbuat demikian dan bersikap berkecuali dalam isu itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.