Muhammad Ibrahim Dilantik Gabenor Bank Negara Baru

KUALA LUMPUR – Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei.

 

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan media hari ini.

 

“Saya yakin di bawah kepimpinan Datuk Muhammad, Bank Negara Malaysia akan meneruskan sumbangannya dalam membantu kerajaan, memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara, serta mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk juga meneruskan usaha Bank Negara Malaysia membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya,” kata Najib.

 

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang tamat kontrak pada hujung bulan ini.

 

Najib, dalam pada itu, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Zeti di atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor Bank Negara yang ketujuh.

 

Muhammad menyertai Bank Negara pada 1984 dan menjadi Timbalan Gabenor sejak Jun 2010.

 

Beliau bertanggungjawab memantau pengurusan rizab antarabangsa, dan pasaran kewangan serta operasi tukaran asing.

 

Beliau juga pernah berkhidmat di bahagian pemantauan perbankan dan kawal selia insurans dan perbankan luar pesisir.

 

Muhammad sebelum itu memegang jawatan Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd, sebuah agensi permodalan bank yang dibangunkan sewaktu krisis kewangan Asia.

 

Beliau juga mempunyai ijazah Sarjana dari Universiti Harvard. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.