Mara Digital Mall Akan Beroperasi Di Terengganu, Melaka

KUALA LUMPUR – Pusat barangan teknologi maklumat (IT) usahawan Bumiputera, Mara Digital Mall dijangka beroperasi di Terengganu dan Melaka Disember ini, kata Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

 

Beliau berkata, pembukaan dua lagi pusat itu adalah selaras dengan usaha kementerian untuk membuka pusat tersebut di setiap negeri seluruh negara.

 

“Berikutan maklum balas positif diterima daripada orang ramai selepas pembukaannya di Bangunan MARA Kuala Lumpur, kita merancang untuk membuka Mara Digital Mall di semua negeri, di Terengganu dan Melaka dijangka beroperasi Disember tahun ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam yang mahu tahu bilakah kementerian akan membina pusat perniagaan IT di seluruh negara seperti Mara Digital Mall di Kuala Lumpur.

 

Mengulas lanjut, Jazlan berkata, Pusat IT di Anggerik Mall, Shah Alam dan Glomac Mall, Damansara akan memulakan kerja-kerja awalan Jun ini untuk membolehkan usahawan IT Bumiputera memulakan perniagaan mereka.

 

Menurutnya Mara Digital Mall di Kuala Lumpur sejak dilancarkan Disember tahun lalu telah mencatat jumlah jualan RM4.6 juta dan jumlah jualan dijangka meningkat 5 peratus sebulan.

 

Katanya, ketika ini pusat jualan tersebut mencatat sehingga 5,000 pengunjung sehari dan jumlahnya meningkat kepada 6,000 hingga 7,000 pengunjung sehari pada hujung minggu.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.