Calon Langsung Bukti Sikap Toleransi, Setiakawan – Zahid

PAKAN  – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan formula meletakkan calon langsung BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) adalah unik demi kepentingan rakyat negeri ini.

 

Beliau berkata formula Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem itu telah mewujudkan sikap toleransi dan semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen dan ia harus difahami rakyat untuk kepentingan mereka.

 

Sejumlah 13 calon langsung ini telah menunjukkan semangat sayangkan BN dan sanggup meletak jawatan dalam parti mesra BN kerana yakin BN boleh memberi khidmat terbaik kepada pengundi dan rakyat Sarawak, katanya.

 

“Calon-calon langsung yang mendapat restu ini harus dimenangkan kerana mereka mendapat sokongan terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang George di Nanga Nansang dekat sini, semalam.

 

Hadir sama calon langsung BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, yang merupakan penyandang kerusi itu.

 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan gelanggang futsal untuk kegunaan golongan muda di beberapa rumah panjang di kawasan Nanga Nansang.

 

“Gelanggang futsal ini adalah untuk kegunaan semua anak muda di Rumah Panjang George, Nyah, Chabu, Empati, Wing dan Rumah Panjang Jampung di kawasan ini,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.