Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 Terima Pakai Tiga Deklarasi

Langkawi – ASEAN menerima pakai tiga dokumen termasuk ‘Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN Berorientasikan Rakyat, ASEAN Berpaksikan Rakyat’ apabila Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menutup tirai di sini malam ini.

 

Dua lagi dokumen yang diterima pakai ialah ‘Deklarasi Langkawi mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global’ dan ‘Deklarasi Menginstitusikan Daya Tahan ASEAN dan Komunitinya dan Rakyat Terhadap Bencana dan Perubahan Iklim’.

 

Perhimpunan perkumpulan 10 negara anggota itu secara rasminya bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini sebelum pemimpin negara serantau itu berhimpun di Pulau Langkawi ini di utara Semenanjung Malaysia bagi sesi pemukiman dan majlis penutupan.

 

“Saya percaya kami telah mengadakan perbincangan yang amat positif dan bermanfaat dan berkongsi hala tuju untuk bekerja bersama-sama untuk memastikan ASEAN Berpaksikan Rakyat menjadi kenyataan,” kata Najib semasa menutup sidang kemuncak pada 26-27 April itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

 

Beliau mengambil perhatian bahawa hasil daripada perbincangan panjang lebar hari ini, dengan jelas memperlihatkan ASEAN semakin hampir untuk merealisasikan pembentukan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

 

ASEAN, kata Najib perlu memastikan setiap usaha dilaksanakan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat itu.

 

“Ganjaran yang menanti semua rakyat kita adalah terlalu besar, andainya kita tidak merebut peluang ini dengan sepenuh hati,” kata Perdana Menteri.

 

Komuniti ASEAN melibatkan perancangan untuk mewujudkan kebersamaan dari segi ekonomi, politik-keselamatan dan sosiobudaya serantau.

 

“Selepas mendengar semua yang anda perlu suarakan, saya percaya yang anda berkongsi keyakinan saya bahawa ini merupakan masa bagi ASEAN, dan kita akan bertindak untuk memanfaatkan sepenuhnya begitu banyak potensi di rantau kita,” kata Najib kepada audien yang berhimpun pada sesi penutupan sidang kemuncak itu.

 

Pemimpin Asia Tenggara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang keempat dipengerusikan Malaysia itu ialah Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino III, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-ocha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.

 

Bagi sidang kemuncak yang berlangsung di Langkawi, Indonesia diwakili Naib Presiden Jusuf Kalla.

 

Ketua negara dan ketua kerajaan ASEAN turut mengambil perhatian terhadap enam laporan disediakan bagi sidang kemuncak, iaitu Laporan Setiausaha Agung ASEAN mengenai Rangka Kerja ASEAN; Laporan Majlis APSC (Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN) bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-26; dan Laporan Majlis AEC (Komuniti Ekonomi ASEAN) bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-26.

 

Tiga lagi ialah Laporan Majlis ASCC (Komuniti Sosio-Budaya ASEAN) bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-26; Laporan Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN; dan akhir sekali Laporan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN bagi Pemimpin ASEAN.

 

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada 1977, 1997 and 2005. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.