PRK Permatang Pauh: PasMa Buka Bilik Gerakan, Kerah 1000 Jentera Bantu Kempen

Bukit Mertajam – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) membuka bilik gerakan bagi membantu kempen PKR dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Presidennya Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi SuaraTV berkata pusat operasi PasMa telah mula beroperasi sejak hari penamaan calon dan seramai 1,000 orang jentera akan dikerahkan secara berperingkat-peringkat.

 

“Sehingga kini PasMa telah membuka satu bilik gerakan di bandar Perda dan kita juga turut menyenaraikan para penceramah PasMa yang boleh berkempen dan mereka akan melakukan ceramah secara berkelompok.

 

“Selain daripada itu kami juga akan mengedarkan risalah-risalah kempen kepada pengundi” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Phahrolrazi gerak kerja Pasma sepanjang kempen pilihanraya kecil ini akan tertumpu kepada para pengundi yang bukan ahli mana-mana pertubuhan politik.

 

Sementara itu Ketua Operasi Bilik Gerakan Pasma di Permatang Pauh, Zulkifli Lazim berkata pihak sedang menyusun gerak kerja yang diperlukan bagi memastikan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei.

 

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu, menolak petisyen pengampunan diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

 

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

 

Suhaimi yang merupakan setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh akan ditentang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.