Pendirian Pemuda PAS Pulau Pinang Tidak Relevan, Kata Pemimpin PKR

BUKIT MERTAJAM – Pendirian Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh disifatkan PKR sebagai tidak relevan kerana ia bertentangan dengan ketetapan Dewan Pemuda PAS Pusat.

 

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata PAS Pusat termasuk Dewan Pemuda PAS sudah membuat ketetapan untuk bekerjasama dalam kempen PRK Permatang Pauh selain komited menyokong calon PKR dalam pilihan raya kecil berkenaan.

 

Syed Ibrahim berkata, beliau percaya kerjasama ini akan berjalan dengan baik selaras dengan ketetapan yang dipersetujui oleh PAS Pusat termasuk dewan pemuda parti itu.

 

“Hasil taklimat dengan kira-kira 300 petugas jentera PAS di Permatang Pauh yang dipengerusikan Timbalan Persuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, mereka sudah sepakat untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon PKR.

 

“Justeru saya berpendapat, bahawa tindakan Dewan Pemuda PAS untuk memutuskan kerjasama dengan PKR dalam kempen PRK Permatang Pauh bertentangan dengan pendirian PAS Pusat dan saya percaya kemelut ini akan selesai dan tidak akan mengganggu kempen kita,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini, hari ini.

 

Mengulas mengenai usaha PAS Kelantan untuk mempromosi pelaksanaan hukum hudud di PRK Rompin dan Permatang Pauh, Syed Ibrahim berkata perkara itu bukan keutamaan kerana ketika ini pakatan pembangkang lebih komited dalam isu kebajikan rakyat.

 

“Kita sudah maklumkan yang perkara berkaitan hudud hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Osman mendakwa kemelut antara PAS dan parti itu sengaja disensasikan media arus perdana yang pro Barisan Nasional (BN) bagi melemahkan kesepakatan pakatan pembangkang.

 

Mansor berkata, BN cuba melaga-lagakan hubungan kedua-dua parti itu kerana menyedari kemelut berkenaan boleh dijadikan sebagai senjata dalam menghadapi PRK Permatang Pauh.

 

Beliau berkata, usaha berkenaan hanya sia-sia kerana pakatan pembangkang lebih matang dan tidak akan terheret dengan permainan politik berkenaan.

 

“Hubungan dalam parti komponen pakatan pembangkang akan kekal utuh dan ia adalah hasil maklum balas positif dalam beberapa siri perjumpaan dan rundingan yang kita lakukan bersama PAS.

 

“Kita yakin isu-isu nasional yang lebih besar berlaku ketika ini akan dijadikan perjuangan yang mengukuhkan lagi hubungan dalam pakatan pembangkang,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.