Pemuda Pas Boikot, Tidak Jejas Jentera PKR – PasMa

Seberang Jaya – Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yakin tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang membekukan jentera dan aset mereka tidak akan menjejaskan gerak kerja kempen Pakatan Rakyat di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Pengerusi PASMA Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim berkata tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang itu bertentangan dengan arahan daripada PAS Pusat yang meminta ahlinya membantu kempen PKR.

 

 

“Saya rasa tidak memberi sebarang kesan kerana jentera pilihan raya PAS telah pun digerakkan oleh PAS Pusat.

 

“Kita faham kesetiaan ahli PAS adalah kepada pucuk pimpinan,” katanya.

 

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dalam satu kenyataan sebelum ini mengarahkan supaya membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

 

Arahan boikot itu dikeluarkan selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak mengendahkan desakkan permohonan maaf mereka terhadap dakwaan menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Ekoran daripada itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang juga merupakan Pengarah Induk Jentera Pilihan Raya PAS Pusat mengeluarkan arahan akan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli yang mengingkari arahan PAS Pusat.

 

“Sekiranya ada tindakan dari mana-mana ahli yang terbukti bertentangan dengan arahan ini, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas ahli tersebut berdasarkan peruntukan-peruntukan yang jelas termaktub dalam perlembagaan.

 

“Siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh Jawatankuasa PAS Pusat terhadap Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.