PasMa Amal Politik Ekonomi Bukan Politik Agama

SEBERANG JAYA – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menafikan pihaknya terlibat dengan semua kain rentang yang dipasang di beberapa tempat di sekitar Seberang Jaya dan Bukit Mertajam.

 

Pengerusi PasMa Negeri Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim dalam temubual eksklusif bersama SuaraTV sebentar tadi menafikan dakwaan yang cuba mengaitkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kain-kain rentang tersebut.

 

 

“Ikut laporan yang kami terima kenderaan yang memasang banner-banner ini tidak kami kenali.

 

“Kami tidak terlibat kerana PasMa mengambil pendekatan politik ekonomi dan bukannya politik agama untuk membangunkan masyarakat,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Zolkifly, PasMa ingin memberi ruang kepada masyarakat untuk hidup lebih selesa.

 

Terdahulu kain-kain rentang yang memaparkan perkataan ‘Kamu Boikot, Kamu Munafik’ dilihat terpasang di sekitar jalan-jalan utama di bandar Perda.

 

Perkataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) yang bertegas untuk tidak membantu gerak kerja Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh.

 

Zolkifly walau bagaimanapun merasakan keputusan DPPNPP itu tidak akan memberi kesan terhadap gerak kerja kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pauh.

 

“Jentera pilihan raya digerakkan oleh Pas Pusat malah kenyataan juga telah dikeluarkan oleh Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung ketika hari penamaan calon yang lepas.

 

“Kesetiaan ahli Pas adalah kepada pucuk pimpinan (dan tindakan Pemuda Pas Negeri itu) hanya bertujuan untuk mencuri perhatian media

 

Ketuanya DPPNPP, Mohd Yusni Mat Piah sebelum ini berkata keputusan itu diambil selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang masih enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun diberi tempoh sehingga semalam.

 

“DPPNPP dengan ini menetapkan pendirian bahawa semua jentera dan petugas Pemuda PAS Negeri direhatkan daripada semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh. Semua Bilik Gerakan Pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh.

 

“Malahan kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru PASTI juga akan direhatkan daripada bertugas dalam PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Yusni berkata pihaknya tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai pentas ceramah sepanjang tempoh berkempen. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.