PasMa Akur Arahan SPR, Turunkan Kain Rentang

BUKIT MERTAJAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengarahkan agar bilik operasi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) segera menurunkan kain rentang yang dipasang kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

 

Menurut Pegawai Operasinya, Azizal Ahmad yang ditemui SuaraTV sebentar tadi, SPR menerima laporan berhubung tindakan PasMa yang menaikkan bahan kempen sedangkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut tidak bertanding dalam pilihanraya kali ini.

 

 

“SPR mendapat laporan berhubung bilik gerakan PasMa yang dibuka (namun) disebabkan mereka bukan parti yang bertanding di Permatang Pauh maka apa-apa kain rentang atau bahan kempen yang menggunakan nama selain dari parti yang bertanding tidak boleh digunakan.

 

“Disebabkan itu kita memohon supaya pihak yang terlibat itu segera menurunkan bahan-bahan kempen itu (kerana) mereka tidak terlibat” katanya.

 

Menurut Azizal hasil perbincangan yang diadakan bersama PasMa tadi, mereka akhirnya bersetuju untuk menurunkan kain rentang tersebut.

 

Azizal turut menjelaskan sehingga kini pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung kesalahan yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen di pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh dan SPR sedang meneliti semua aduan tersebut.

 

Sementara itu Pengerusi PasMa Negeri Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim ketika ditemui berkata pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan pegawai Operasi SPR berhubung arahan tersebut.

 

“Dia minta kita untuk tidak menaikkan sebarang kain rentang, namun kita telah tegaskan bahawa PasMa bukan parti politik tapi merupakan NGO yang menyokong pakatan rakyat.

 

“Namun SPR tetap bertegaskan agar kain rentang tersebut tidak digunakan dan meminta kita menutup logo Pasma dan pada ketika ini kita sedang berunding mengenai arahan yang dikeluarkan itu” katanya secara eksklusif kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Walau bagaimanapun menurutnya PasMa Negeri masih berunding agar penglibatan NGO dibenarkan dalam pilihanraya kecil pada kali ini.

 

SPR menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei.

 

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu, menolak petisyen pengampunan diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

 

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

 

Suhaimi yang merupakan setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh akan ditentang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.