NGO Gesa Kerakyatan Alvin Tan Dilucut

Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas) membuat 10 laporan polis terhadap blogger kontroversi Alvin Tan dengan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beliau berhubung video azan bermuzik yang dimuat naiknya di YouTube minggu lalu, lapor Berita Harian.

 

Menurut Pengerusi Batas Parlimen Bukit Katil, Muhamad Ridzuan Dol Hadi yang membuat laporan tersebut berkata, permintaan itu dibuat bagi mengelakkan timbul isu ketegangan agama antara semua kaum di negara ini.

 

“Malaysia mempunyai penduduk berbilang bangsa dan kita tidak mahu timbul isu ketegangan agama serta kaum berikutan tindakannya.

 

“Dia pernah mempersendakan Islam tetapi tindakan terhadapnya kurang tegas. Mungkin sudah tiba masanya kerakyatannya dilucutkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

 
Minggu lalu, Alvin sekali lagi mencuri perhatian ramai dengan video terbarunya, melaungkan azan tanpa memakai baju dengan diiringi petikan organ.

 

Video selama 2 minit 50 saat itu menayangkan Alvin yang bertatu salib di dada kiri melaungkan azan sambil berkaca mata hitam, memakai rantai dan bersubang di telinga kiri.

 

Beliau turut memakai seluar pendek berwarna hitam.

 

“Matlamat baharu saya ialah agar semua masjid di Malaysia memainkan azan saya ini dan bukannya azan dari orang tua yang terbongkok-bongkok di depan mikrofon, menyeksa suara dan peti suara mereka.

 

“Biarlah orang-orang tua itu berehat… bersemadi dengan aman,” tulis Alvin pada akaun Facebook miliknya yang memuatkan video tersebut.

 

Kali terakhir Alvin mendapat liputan media ialah sekitar Disember 2014 apabila pasport beliau ditarik balik Putrajaya selepas melarikan diri ke Amerika Syarikat. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.