Herba Tradisional Cina Punca Chong Wei Digantung

PUTRAJAYA – Sejenis kapsul geletin ubat tradisional Cina yang diambil jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sejak berumur 13 tahun dipercayai tercemar dengan bahan terlarang dexamethasone yang sekaligus menyaksikan beliau digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah gagal ujian doping.

 

Menurut Chong Wei ubat tradisional Cina itu tersebut dimakannya sejak 2007.

 

“Ubat ini pun saya makan sejak umur 13 tahun tetapi inilah kali pertama saya dikenakan doping.

 

“Berkemungkinan kapsul geletin ubat tersebut tercemar dengan dexamethasone.

 

“Kini saya diberikan rehat selama tiga hari sementara menunggu penggantungan saya tamat 1 Mei ini. Saya berharap agar mereka yang terlibat, beri saya rehat dulu selama tiga hari dan jangan menelefon saya,” katanya berseloroh.

 

Dalam pada itu, kes doping yang dihadapi itu tidak mematahkan semangat beliau untuk kembali merangkul takhta pemain badminton nombor satu dunia, kata Chong Wei.

 

“Saya ada bincang dengan jurulatih dan beliau menasihatkan saya bahawa apa yang terjadi ini mungkin ada baiknya kerana penurunan rangking saya ini juga boleh menjadi penaik semangat untuk saya kembali memberi fokus kepada setiap perlawanan,” katanya.

 

Chong Wei juga mengakui beliau berasa lega dengan keputusan BWF dan menerima keputusan tersebut.

 

“Sekarang saya dah boleh beraksi kembali dan terima kasih kepada peminat yang terus menyokong. Buat masa ini, saya akan terus berusaha untuk pertandingan akan datang.

 

“Sudah lapan bulan saya menunggu keputusan kes ini dan saya masih meneruskan latihan saya. Biasalah, hidup ini ada naik dan turun,” katanya.

 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khaiiry Jamaluddin berkata, kes membabitkan Chong Wei ini agak unik kerana ia jarang berlaku.

 

Namun pihaknya tidak akan berpeluk tubuh setelah kes Chong Wei selesai, sebaliknya akan meneruskan siasatan.
“Kita akan buat siasatan mengenai perkara itu bukan terhadap Chong Wei sahaja tetapi untuk semua atlet di bawah Institut Sukan Negara (ISN).

 

“Dalam pada itu, kita juga berharap agar ubat atau vitamin kesihatan tambahan yang diambil Chong Wei itu dapat kita periksa dan buat ujian terhadap ubat tersebut agar dapat mengesahkan bahawa tiadanya unsur-unsur bahan terlarang dexamethasone,” tegas Khairy.

 

Belia turut menasihatkan semua atlet negara agar berhati-hati dalam pemilihan ubat atau vitamin tambahan yang diambil.

 

“Saya berharap agar semua atlet negara tidak mengambil apa-apa ubat atau vitamin tambahan selain yang dibekalkan ISN.

 

“Kita perlu ambil iktibar atas kejadian ini dan perketatkan lagi prosedur standard berkenaan pengambilan ubat atau vitamin tambahan kerana kejadian kapsul tercemar dengan bahan terlarang jarang berlaku tetapi ia berkemungkinan berlaku,” kata Khairy sambil menambah pihaknya akan meneliti lagi prosedur standard berkenaan pengambilan ubat atau vitamin pada masa akan datang.

 

Kedua-dua Khairy dan Chong Wei bercakap kepada pemberita pada sidang media bagi mengumumkan keputusan kes doping pemain badmonton berkenaan di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, Isnin.

 

Chong Wei telah dibenarkan beraksi semula berkuatkuasa 1 Mei ini selepas menerima keputusan kes dopingnya pagi tadi.

 

Menurut Khairy semua pihak gembira dengan keputusan tersebut dan Sukan Sea Singapura atau Piala Sudirman di China berkemungkinan menjadi gelanggang pertama bekas pemain nombor satu dunia itu kembali beraksi selepas tamat penggantungannya.

 

“Penggantungan Lee Chong Wei sejak 13 Oktober 2014 akan tamat 1 Mei ini dan sudah lapan bulan beliau menunggu keputusan itu,” kata Khairy sambil menyifatkan keputusan terhadap kes Chong Wei itu positif dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga menerima baik keputusan tersebut. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.