Pengundi Cina Beri Tempoh 3 Tahun Pada Calon BN

Seberang Jaya – Pengundi Cina memberi tempoh tiga tahun kepada calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin untuk bawa perubahan dan pembaharuan di Permatang Pauh.

 

Menurut Suhaimi maklumbalas yang diterima sepanjang tempoh kempen yang dijalankan amat positif dan mengalakkan.

 

 

“Sudah tiga tempat yang saya hadir (sepanjang tempoh kempen) mewakili Barisan Nasional bagi menemui para pengundi Cina dan India dan respon (maklumbalas) yang diterima positif.

 

“Mereka (pengundi bukan Melayu) secara peribadi berkata sudah semestinya akan menyokong calon yang akan memberi pulangan baik kepada parlimen Permatang Pauh dan pengundi Cina memberi tempoh selama tiga tahun kepada saya untuk membuat perubahan” katanya kepada pemberita ketika mengadakan perjumpaan bersama pengundi Muda di sini, lewat malam tadi.

 

Menurut Suhaimi mereka turut berjanji akan memberikan sokongan dan memberi peluang kepada calon Barisan Nasional pada pilihanraya kali ini.

 

“Ramai juga pengundi bukan Melayu yang saya jumpa tadi dalam angaran sekitar 300 ke 400 ratus, dari daerah Kubang Semang, kawasan Seberang Jaya dan Penanti.

 

“Respon yang diberikan itu telah memberikan saya semangat baru dan yakin usaha giat yang dilakukan itu akan membantu (sekaligus) memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional” ujarnya lagi.

 

Suhaimi yang berasal dari Kampung Guar Jerin turut merayu kepada pengundi di Permatang Pauh agar memberi peluang kepada dirinya.

 

Beliau turut berjanji akan bekerja berttungkus lumus di Permatang Pauh kerana tidak mempunyai sebarang komitmen di tempat lain.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei.

 

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu, menolak petisyen pengampunan diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

 

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

 

Suhaimi yang merupakan setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh akan ditentang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.