Anwar Tidak Layak Mengundi PRK Permatang Pauh – SPR

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

 

Aziz berkata, walaupun PKR mahukan Anwar mengundi dalam PRK Permatang Pauh, perkara itu tidak dibenarkan berdasarkan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

“Tak layak di bawah Perkara 119(3)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata Aziz, dalam satu mesej WhatsApp, kepada The Malaysian Insider malam tadi ketika ditanya berkenaan status Anwar untuk mengundi dalam PRK Permatang Pauh.

 

Perkara 119(3)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan.”

 

Semalam PKR menggesa Putrajaya membenarkan Anwar untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei depan dan menyeru kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan rancangan membenarkan banduan mengundi.

 

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sudah wujud rancangan sejak 2013 untuk membenarkan banduan menggunakan hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

 

Menurutnya, pada Jun 2013, kementerian dalam negeri merancang merangka mekanisme untuk membenarkan mereka yang dipenjarakan untuk mengundi.

 

Beliau juga berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata, perbincangan masih dijalankan dengan pihak berkuasa berkaitan seperti pihak polis dan SPR untuk membenarkan banduan mengundi.

 

“Saya mengalu-alukan langkah tersebut dan mencadangkan supaya Pilihan Raya Permatang Pauh dijadikan tapak projek pertama, membenarkan banduan politik nombor satu Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengundi.

 

“Bukankah jangka masa lebih dari setahun cukup untuk mencari mekanisme undang-undang yang selari dengan Akta Penjara dan Perlembagaan Persekutuan?” katanya.

 

Bagaimanapun Zahid menyerahkan kepada SPR sama ada mahu memberikan kelonggaran kepada Anwar untuk mengundi dalam PRK Permatang Pauh.

 

“Mungkin SPR akan meneliti fasal-fasal yang akan memberi peluang kepada banduan untuk mengundi…tetapi setakat yang saya tahu, banduan tidak ada hak untuk mengundi.

 

“Jika terdapat fasal untuk membenarkan banduan mengundi, saya pasti SPR akan menyediakan kertas undi untuk dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk individu itu mengundi,” kata Zahid yang juga pengarah PRK Permatang Pauh bagi Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang semalam.

 

Anwar yang merupakan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

 

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kini sedang bertanding dalam pilihan raya kecil untuk mempertahankan kubu kuat PKR daripada dirampas BN.

 

Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Akta Penjara membolehkan banduan meninggalkan tapak penjara dalam beberapa kejadian, seperti pengebumian, dan membenarkan mereka mengundi adalah selari dengan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 21, Perlembagaan Persekutuan.

 

“Di Malaysia, rakyat mempunyai hak untuk mengundi wakil Dewan Undangan Negeri atau Parlimen dalam mana-mana pilihan raya seperti yang dicatatkan di dalam Artikel 119 dalam Perlembagaan,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.