Pulanglah Pesawatku Khas Untuk MH370

Sebagai tanda berkongsi kesedihan terhadap kehilangan pesawat MH370, band tempatan Nuclear Strikes tampil dengan sebuah lagu khas bagi mengenang peristiwa tersebut berjudul, Pulanglah Pesawatku.

Lagu yang disampaikan itu bukan sekadar memberi reaksi terhadap peristiwa tersebut tetapi turut menyelami kesedihan yang dialami keluarga penumpang MH370. Di samping berkongsi penderitaan bersama kru, penumpang dan pasukan jentera mencari dan menyelamat (SAR), lagu tersebut juga memberi sokongan moral kepada mereka yang terlibat.

Nuclear Strikes yang memperjuangkan muzik heavy metal pada 1980-an dan kini semakin mendapat tempat dalam aliran muzik semasa berharap lagu mereka itu mampu memberikan kelegaan kepada keluarga penumpang.

Nuclear Strikes yang dianggotai Tasya Blade (vokal), Rex Strike (gitar utama), Rex Killer (gitar kedua), Thunderbolt (bass) dan Iron Speed (drum) sedar mereka tidak mampu memberi sumbangan kepakaran dalam operasi SAR, namun sekurang-kurangnya mereka ikhlas menunaikan tanggungjawab sosial dalam menghulurkan lagu, di samping doa dengan penuh keikhlasan.

Sepanjang penglibatan mereka dalam dunia hiburan, mereka banyak mengadakan persembahan di dalam negara dan kini tibalah masanya untuk mereka menghasilkan sebuah karya seni yang memberikan 1,001 makna yang tidak mungkin dilupakan masyarakat setempat, lebih-lebih lagi dalam memahami bahawa tragedi ini meminta kita berganding bahu, mengukuh apa yang lemah dan menambah apa yang kurang.

Pemain gitarnya, Rex Killer berkata, sejak dimuat naik ke laman YouTube, lagu tersebut mendapat sebanyak 30,000 Like dalam masa beberapa hari sahaja.

Bagi yang masih belum mendengarnya, sehingga kini lagu tersebut telahpun mendapat sejumlah 100,000 Like daripada pelayar YouTube.

Perkembangan terbaharu, Nuclear Strikes turut mendapat penghargaan Yahoo Malaysia yang telah meletakkan lagu mereka sebagai trending paling hangat di Malaysia dan kebanyakan laman blog turut melabelkan lagu tersebut sebagai lagu paling popular di Malaysia.

Nuclear Strikes nampaknya melangkah berani untuk menghasilkan lagu tersebut sehingga berjaya memenangi hati peminat dari dalam dan luar negara.

Matlamat mereka bukan sahaja untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik tetapi juga mahu meredakan ketegangan dengan harapan menghidupkan kembali kepercayaan agar pesawat MH370 yang dilaporkan hilang itu bakal dikesan dan ditemui.

Untuk mendengar lagu tersebut, layari laman http://www.youtube.com/watch?v=cPHMFAPCxdI dan bagi peminat yang ingin mengenali mereka dengan lebih dekat, tontonlah persembahan mereka atau layari http://nuclearstrikes. webs.comm, www.madratts.com, www.facebook.com/nuclearstrikes dan www.facebook.com/madratts.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.