Hayat PPBM Hanya Tinggal 3 Hari Lagi?

Adakah hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini hanya tinggal tiga hari lagi? Itulah persoalan yang bermain di benak ramai ketika ini. Ini kerana PPBM telah diberikan arahan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) supaya menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki dalam masa 30 hari, berkuatkuasa 28 Februari lalu.

Gagal berbuat demikian maka tindakan akan diambil. Kalau diikutkan kepada tarikh kuatkuasa amaran berkenaan, PPBM hanya ada masa kemungkinan hingga Jumaat ini sahaja.

Namun adakah PPBM sudah menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki seperti yang dikehendaki itu?. Jumaat lalu, ketua pengarah ROS, Surayati Ibrahim mengesahkan hingga tarikh itu, PPBM masih belum menjawab dan menyerahkan maklumat yang diminta oleh ROS.

Tidak nampak pula kegusaran di kalangan pemimpinnya berhubung perkara itu malah pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad semakin ligat berceramah menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada tanda-tanda kebimbangan di wajahnya kecuali beliau menyalahkan kerajaan kononnya cuba mensabotaj parti berkenaan dengan menyukarkan proses pendaftaran sedangkan sudah banyak masa diberikan oleh ROS kepada PPBM.

Kegagalan PPBM ini menunjukkan bahawa ia mempunyai kelemahan dari segi takbir urus. Jika parti pun gagal untuk diuruskan bagaimana pula dengan negara? Isu pendaftaran ini menjadi petunjuk betapa tidak cekapnya PPBM.

Mahathir mungkin tidak bimbang jika PPBM dibatalkan kerana beliau sudah menyatakan sebelum ini, akan kesudiaannya untuk bertanding pada pilihan raya umum ini dengan menggunakan logo DAP.

Meskipun pemimpin DAP memberikan keizinan kepada Mahathir untuk bertanding dengan menggunakan logo Roket namun khabarnya ahli akar umbi DAP menolaknya. Terdapat khabar angin bahawa ahli-ahli DAP khususnya orang India tidak pernah menyukai Mahathir.

Ini kerana semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau telah meminggirkan pembangunan sekolah, usahawan, kuil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik kaum itu.

“Sudah tentu mereka tidak akan sokong jika Dr. Mahathir dan PPBM menggunakan logo DAP dalam pilihan raya nanti, tetapi mereka tidak akan bersuara kerana menjadi budaya dalam parti itu, siapa yang lantang akan dipecat daripada parti,” kata bekas Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang Baharu, R. Vellasamy kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jadi apa yang akan berlaku kepada PPBM, sama-sama kita tunggu sehingga 30 Mac ini. Adakah parti serpihan UMNO ini yang masih setahun jagung akan terkubur?

Hilangnya kononnya perjuangan untuk Selamatkan Malaysia sebaliknya lebih baik ditukar kepada Selamatkan Diri Sendiri.- Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.