Najib Bertemu Mangsa Culik Kumpulan Abu Sayyaf

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu dan mendengar sendiri cerita dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas.

Kedua-dua mangsa culik berkenaan Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, tiba di kediaman perdana menteri pada 8 pagi untuk dipertemukan dengan keluarga masing-masing, yang telah sedia menunggu.

Pada pertemuan kira-kira 20 minit di kediaman perdana menteri di Jalan Taman Duta di sini, kedua-dua lelaki itu yang kini tidak mampu berjalan dan mempunyai masalah penglihatan, menceritakan bagaimana mereka dilayan seperti hamba abdi oleh penculik, yang juga anggota kumpulan militan.

Rasa syukur dizahirkan kedua-dua mangsa culik dan suasana yang penuh emosi jelas dirasai dalam pertemuan, yang disertai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tayudin dan Abdul Rahim merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga, yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai, 2016.

Mereka yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.