Pengarah Hospital Besar Wilayah NTB, Dr. L. Hamzi Fikri yang dipetik portal Jakarta Post sebagai berkata, janin itu dikeluarkan daripada perut bayi bernama Muhammad Abdul Zikri dari Lombok Timur, lapor Utusan.

“Pasukan doktor kami mela­ku­­kan pembedahan dan berjaya mengeluarkan janin seberat 400 gram daripada perut bayi itu. Kea­daan janin itu masih belum membesar sepenuhnya dan dipercayai lelaki,” katanya kepada sidang akhbar di Mataram dekat sini semalam.

Foetus in fetu merupakan satu keadaan yang mana janin hidup sebagai penumpang yang membesar di dalam badan saudara kembarnya dengan kejadian seumpama itu amat jarang berlaku dan biasanya melibatkan satu kes daripada 500,000 kelahiran.

Hamzi memberitahu, pembe­da­han itu berlangsung selama satu jam setengah dan melibatkan sepasukan doktor pakar.

Mereka terdiri daripada pakar bedah, pakar bedah kanak-kanak, seorang pakar bius, ahli radiologi, pakar ginekologi obstetrik, pakar patologi anatomi, pakar patologi klinikal dan pemakanan.

“Abdul Zikri kini masih menjalani rawatan selepas pembedahan. Pesakit mula sedar dan masih berada di bilik unit rawatan rapi (ICU),” jelas Hamzi.

Bayi kepada pasangan Usman, 50, dan Asmani, 45, mula dirawat di Hospital Besar Wilayah NTB sejak 11 Mac lalu.

Pasangan itu berasal dari Kampung Letok, daerah Sakra, Lombok Timur dan bertindak merujuk anak mereka dari Hospital Besar Selong di Lombok Timur selepas bayi berkenaan mengalami bengkak pada bahagian abdomen.

Pada 15 Mac, hasil pemeriksaan menggunakan imbasan CT dan gambar radiologi menunjukkan cecair dan objek seperti janin pada perut pesakit sebelum pakar perubatan mengesahkan Abdul Zikri menderita akibat masalah foetus in fetu.