Beri TMJ 2 Tahun Ubah Bola Sepak Negara

PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu diberi masa sehingga 2 tahun sama ada membawa kemajuan atau tidak terhadap bola sepak negara, menurut seorang pengkritik sukan.
“Selepas lebih kurang 2 tahun kita boleh mula meramalkan sama ada pasukan kita (Harimau Malaysia) akan terus mencapai kejayaan atau tidak,” kata Tan Sri Khoo Kay Kim.
“Jadi kita perlu tunggu dulu. Sesiapapun kalau dipilih sebagai presiden, perlu diberi sekurang-kurangnya 2 tahun bagi membuktikan dia boleh membawa kemajuan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sabtu lalu, Tunku Ismail dilantik menjadi Presiden FAM yang baru bagi penggal 2017-2021.

Sejurus perlantikannya, beliau menggariskan 4 pelan jangka pendek termasuk menyemak serta melakukan audit ke atas akaun persatuan itu.
Menurutnya, perkara utama yang mahu dilakukannya adalah menyemak akaun untuk mengetahui status kewangan FAM, selain mengurang pembaziran serta menukar falsafah permainan skuad kebangsaan dan meningkatkan imej bola sepak negara.
Tunku Ismail turut mengumumkan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menggantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, manakala Ong diberi tanggungjawab mengendalikan skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.
Khoo berkata, antara tugas yang Tunku Ismail patut lakukan adalah mencari sekali lagi pemain seperti Abdul Ghani Minhat, Datuk Mokhtar Dahari dan Awang Bakar.
“Bukan mencari sahaja, melatih. Kita mencari orang yang ada bakat kemudiannya melatih dia,” katanya.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.