Bali Sambut Hari Nyepi, Esok

JAKARTA – Pulau Bali, sebuah destinasi pelancongan tersohor di Indonesia, akan menjadi sunyi sepi selama 24 jam mulai esok pagi bersempena sambutan Hari Nyepi iaitu hari tahun baharu bagi penganut Hindu di negara ini.

Bersempena sabutan Hari Nyepi, pulau itu juga akan bergelap dan orang ramai tidak dibenarkan keluar bersiar-siar di pulau berkenaan, malah tiada pelancong akan keluar masuk ke Bali kerana lapangan terbangnya akan ditutup selama 24 jam bermula pukul 6 pagi esok.

Ketua Hubungan Masyarakat Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Arie Ahsanurroqim dipetik oleh media-media dalam talian sebagai berkata, semua penerbangan domestik dan antarabangsa tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Nyepi.

Katanya bagaimanapun pihaknya menetapkan sebanyak 316 pekerja untuk bertugas jika berlaku sesuatu kecemasan di lapangan terbang berkenaan.

Selain itu, semua jalan raya ditutup kepada sebarang kenderaan manakala aktiviti sosial dihentikan sementara dan pihak berkuasa akan memastikan semua pusat hiburan turut ditutup bagi menghormati sambutan Hari Nyepi.

Perayaan Hari Raya Nyepi sambutan tahun Saka dan ia adalah tahun baharu Hindu berdasarkan kalendar Saka yang bermula sejak tahun 78 Masehi.

Nyepi berasal daripada perkataan ‘sepi’ yang bermaksud sunyi, senyap, lengang, tidak ada kegiatan dan bersempena sambutan itu, orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah dan tidak boleh menyalakan sebarang cahaya api.

Pasukan pengawal adat yang dikenali sebagai Pencalang akan mengawasi suasana Nyepi bagi memastikan orang ramai mematuhi adat dan tidak keluar dari rumah atau hotel kecuali jika kecemasan.

Selepas tempoh Nyepi selama 24 jam itu, penganut Hindu akan meraikan hari tahun baharu berkenaan dengan kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara dan jiran tetangga.

Mereka akan menjamu selera dengan beberapa jenis makanan tradisional Bali, termasuk Entil, sejenis ketupat nasi yang dimasak di dalam buluh dan Pulung Nyepi iaitu kuih diperbuat daripada tepung beras yang dicampur tepung kanji dan dikukus.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.