Pengeluaran Mempelam Harumanis Terjejas – Fama

KOTA BHARU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangkakan pengeluaran mempelam harum manis menurun sebanyak 60 peratus tahun ini berikutan fenomena El Nino.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama Mansor Omar berkata berikutan itu agensi berkenaan tidak dapat mengeksport mempelam tersebut ke Jepun kerana perlu memenuhi permintaan dalam negara.

 

“Tahun lepas sebanyak 25,000 tan mempelam harumanis dihasilkan dengan sebahagiannya berjaya kita eksport ke Jepun dan Singapura.

 

“Namun, pada tahun ini kita jangkakan pengeluarannya akan terjejas 60 peratus akibat fenomena El Nino dan hanya mampu mengeksport buah tersebut ke Singapura serta untuk kegunaan dalam negara sahaja,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Orkid dan Flora di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, malam Sabtu.

 

Pesta orkid dan flora selama 10 hari yang bermula Khamis lepas disertai 95 usahawan penanaman orkid dari seluruh negara, dijangka menarik seramai 250,000 pengunjung dengan jualan mencecah RM3 juta.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga akan melakukan kajian terhadap buah-buahan bermusim dan tidak bermusim lain yang mungkin terjejas dengan fenomena itu.

 

Beliau berkata kerajaan telah memberi kebenaran kepada Fama untuk mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran dari luar negara jika pengeluaran dalam negara tidak mencukupi bagi menampung permintaan domestik.

 

“Ini bagi memastikan rakyat boleh menikmati pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran dengan harga berpatutan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.