Pelajar Guna Sijil SPM Palsu Lanjut Pelajaran Ke Mesir

PETALING JAYA – Polis dan Kementerian Pendidikan Tinggi menyiasat kes penipuan pelajar menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) palsu untuk melanjutkan pengajian ke universiti di Mesir.

 

Mstar Online melaporkan, setakat ini, sekurang-kurangnya 61 pelajar didakwa telah dikesan mengubah atau memalsukan keputusan SPM tahun 2010 hingga 2012 mereka bagi melayakkan diri meneruskan pengajian tinggi mereka di negara itu.

 

Menurut sumber yang dekat dengan siasatan, ramai daripada pelajar terbabit masih berada di negara itu, di mana kebanyakannya mengikuti pengajian ijazah dalam bidang perubatan dan pengajian Islam.

 

Malah, ibu bapa kepada 12 pelajar yang dipanggil sebagai sebahagian daripada penyiasatan kes membuat laporan polis menafikan bahawa anak-anak mereka terlibat dalam memalsukan keputusan SPM itu.

 

Menurut laporan itu lagi, kementerian mengesyaki penipuan itu seawal bulan September 2014 dan pada permulaan meletakkan seramai 137 pelajar di bawah pemerhatian.

 

Kementerian telah menemui percanggahan dalam syarat kemasukan pelajar-pelajar terbabit selepas dimaklumkan oleh Education Malaysia Egypt (EME), agensi bahagian pelajar yang berpangkalan di Mohandessin, Kaherah.

 

Seorang pegawai kementerian membuat laporan polis di Putrajaya pada September 2014 dan satu lagi laporan polis telah dibuat pada bulan Disember 2014, dengan 61 orang disyaki telah mengemukakan keputusan palsu untuk memenuhi syarat kemasukan mereka.

 

Siasatan polis memberi tumpuan kepada kemungkinan penglibatan sindiket dan kemungkinan ramai pelajar lain lagi yang mendapat tempat untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan atau lain-lain kursus di luar negara dengan mengemukakan keputusan SPM palsu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.