Warga Singapura Kecam ‘Roti Gula Melaka Lee Kuan Yew’

Singapura – Gara-gara terlalu ‘kreatif’ untuk menzahirkan perasaan sedih sebagai mengenang pemergian mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, sebuah rangkaian kedai membuat roti di republik itu menerima kecaman hebat pengguna laman sosial, Facebook, semalam.

 

Menerusi rangkain kedai roti jenama BreadTalk, syarikat itu telah memperkenalkan satu produk baharu khusus untuk pelanggannya sebagai tanda mengenang pemimpin itu.

 

“Terima kasih kerana kekuatan yang tidak pernah berbelah bahagi dan kesungguhan dalam mengubah Singapura.

 

“Penuhinya dengan (roti) kelapa parut bersama gula melaka yang diilhamkan dari kampung.

 

“Ini merupakan satu penghormatan kepada pemimpin berwawasan tinggi yang memberikan sepenuh hidupnya untuk membina sebuah negara dari sebuah kampung hingga menjadi Singapura yang berjaya hari ini.

 

“Marilah bersama-sama menyertai kami sepenuh hati memuliakan Encik Lee Kuan Yew,” tulis syarikat tersebut sebagai label kepada roti yang diperkenalkan mereka.

 

Bagaimanapun, tindakan kedai roti, BreadTalk itu menerima kritikan daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai tidak sensitif ketika rakyat sedang bersedih mengenang tokoh pemimpin tersohor negara itu.

 

Susulan menyedari tindakan mereka itu mendapat cemuhan, BreadTalk tampil membuat permohonan maaf.

 

“Kami ingin menyampaikan permohonan maaf yang tidak terhingga berhubung roti #rememberingLKY yang diperkenalkan di cawangan-cawangan BreadTalk.

 

“Niat kami adalah untuk mencipta produk bagi memperingati mendiang Encik Lee Kuan Yew. Kehilangannya amat dirasai oleh kami semua di BreadTalk.

 

“Walau bagaimanapun, kita sedar bahawa cara ini adalah tidak sensitif berdasarkan konteks semasa,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook syarikat itu, semalam.

 

Bagi membuktikan lagi permohonan maaf mereka, BreadTalk menyatakan pihaknya akan menghentikan penjualan roti tersebut di semua cawangan mereka berkuat-kuasa serta merta.

 

Jelasnya, niat awal mereka adalah mensasarkan untuk menderma sebanyak S$30,000 (RM80,000) daripada hasil jualan roti berkenaan untuk Komuniti ‘Chest’.

 

Kuan Yew, 91, terkenal sebagai pengasas Singapura moden meninggal dunia Isnin lepas pada 3.18 pagi di Hospital Besar Singapura, setelah dimasukkan ke situ pada 5 Feb kerana menghidap radang paru-paru yang teruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.