Tiga Lelaki Didakwa Edar Risalah Pinjaman Ah Long

KOTA BHARU – Seorang daripada tiga lelaki mengaku salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mengedar risalah pinjaman wang tidak berdaftar atau ah long.

 

Leow Chee Yin, 21, berasal dari Alor Setar, Kedah, mengaku salah, sementara dua lagi yang menafikan tuduhan itu ialah Lim Soon Guan, 21, juga dari daerah sama dan Lim Ern Chiat, 42, dari Padang Besar Utara, Perlis.

 

Mereka berdepan tuduhan bersama-sama mengedar risalah itu kepada orang ramai di kawasan padang letak kereta di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, jam 10 pagi, pada 19 Mac lalu.

 

Tuduhan mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Hukuman terhadap Chee Yin bagaimanapun ditangguhkan pada 26 April depan bersama sebutan semula ke atas tertuduh kedua dan ketiga.

 

Pendakwaan terhadap mereka dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan di hadapan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed.

 

Pada prosiding itu, Mohamad Nasrudin membenar mereka diikat jamin RM3,000 dengan setiap penjamin sementara kes disebut semula. Mereka menjelaskan jaminan tersebut.

 

Tertuduh kedua dan ketiga diwakili peguam, Ahmad Nuri Abdul Rahman, manakala tertuduh pertama tidak diwakili peguam. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.