Tian Chua Dan Hishamuddin Rais Ditahan Di Dataran Merdeka

Kuala Lumpur – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan aktivis reformasi Hishamuddin Rais antara yang ditahan di Dataran Merdeka malam tadi.

 

Menurut sumber SuaraTV tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diambil apabila mereka yang berhimpun di tapak ‘Duduk-Bantah’ itu enggan bersurai dan mengosongkan kawasan terbabit setelah arahan dan amaran dikeluarkan.

 

 

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kedua-duanya kini berada di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk soal siasat.

 

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata beliau nampak Hishamuddin ditangkap empat lelaki memakai pakaian biasa dan ditolak ke dalam kenderaan itu yang kemudian berlalu pergi dengan laju.

 

Insiden itu berlaku di persimpangan jalan di Jalan Raja Laut, bertentangan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur City Hall, dekat Dataran Merdeka di tengah bandaraya.

 

“Dia menghubungi saya tiga minit sebelum insiden itu ketika dia dalam perjalanan ke sini, saya nampak dia berdiri di lampu isyarat apabila ia terjadi.

 

“Kami sudah hubungi pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan dia kini dalam perjalanan ke balai polis Dang Wangi,” kata Mandeep.

 

Mereka yang berhampiran dan melihat kejadian itu mula menjerit dan mengejar kereta itu tetapi gagal menahannya.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran, pihak polis akan menangkap mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan beramai-ramai anjuran #KitaLawan jika ia menjadi kelam-kabut.

 

Sambil menyeru perhimpunan itu dibatalkan, IGP juga mendakwa berapa laporan dibuat orang awam mendakwa siri perhimpunan #KitaLawan mengganggu ketenteraman awam.

 

“Jika kami rasa ia akan menjadi kelam-kabut, kami akan ambil tindakan, jika anda ingin menganjurkan perhimpunan, boleh bukannya tak boleh. Tetapi anda mesti mematuhi undang-undang,” katanya.

 

“Ingat negara ini ada undang-undang dan polis. Jika tidak bertindak… Anda boleh fikir sendiri,” tambahnya.

 

Dalam kejadian semalam, enam penunjuk perasaan termasuk wakil rakyat dari Perak, ADUN Teja Chang Lih Kang dan Simpang Pulai, Tan Kari Hing ditahan kerana didakwa menghalag kakitangan kerajaan menjalankan tugas mereka.

 

#KitaLawan mendakwa, keenam-enam orang itu dikasari oleh polis ketika kejadian berkenaan tetapi dalam post Twitter mengumumkan penangkapan itu, Khalid berkata, penunjuk perasaan itu yang bertindak ganas.

 

“@PDRMsia malam tadi telah tangkap 6 Ahli Kump Haram KitaLawan di DM yg telah mengganas dgn membelasah P’kuasa DBKL. Ini kah p’himpunan Aman?” kata tweet Khalid.

 

Awal hari ini, polis juga menangkap Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berikutan pekelilingnya menyeru ahli parti menghadiri perhimpunan raksasa #KitaLawan esok.

 

Sementara itu DAP dalam satu kenyataan sebelum ini berkata tidak akan mengambil bahagian dalam Himpunan #KitaLawan yang diadakan itu.

 

Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke parti itu tidak pernah mengarahkan ahlinya menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh PKR.

 

Perhimpunan #KitaLawan diadakan untuk menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

“Kami tidak terlibat dalam program itu. Kami bukanlah pihak penganjur. Butiran lanjut mengenai program tersebut juga kami tiada,” kata Loke kepada The Star Online ketika dihubungi petang tadi.

 

Bagaimanapun, beliau berkata ahli DAP tidak dilarang daripada menyertai himpunan tersebut.

 

Kali pertama Himpunan #KitaLawan diadakan pada 7 Mac lalu di luar pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur.

 

Perhimpunan yang akan diadakan esok juga dijangka kecoh apabila peserta himpunan didakwa akan mengganggu majlis resepsi anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

BERITA LANJUT MENYUSUL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.