Saya Sedih Atas Kematian Lee Kuan Yew – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesedihan di atas kematian Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, walaupun hubungan kedua-dua mereka kadang-kadang tegang dan selalunya tidak sependapat.

 

“Tidak kira berkawan baik atau tidak, kematian seorang lelaki yang memang kita kenali, tetap menyedihkan.

 

“Saya tidak katakan bahawa saya kawan rapat Kuan Yew, tetapi saya tetap bersedih di atas kematian beliau,” tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini, empat hari selepas kematian Lee, pada 23 Mac lalu.

 

Dr Mahathir berkata beliau bertemu Lee buat pertama kali ketika beliau menjadi Ahli Parlimen pada 1964 selepas Singapura menyertai Malaysia pada 1963.

 

“Kami sering bertikam lidah ketika berdebat, tetapi tidak ada rasa sakit hati, hanya perbezaan pendapat dan ia penting dan bagus untuk negara baru.”

 

Namun katanya, Lee pernah menuduhnya menjadi Melayu ultra yang bertanggungjawab dalam rusuhan kaum di Singapura.

 

“Sebenarnya saya tidak pernah ke Singapura untuk membuat onar. Orang lain yang buat dan saya tidak akan namakan dia.”

 

Dr Mahathir berkata ketika beliau dan Lee menjadi perdana menteri, mereka hanya bersetuju dalam satu perkara.

 

“Ketika saya menjadi perdana menteri pada 1981, saya datang bertemu Kuan Yew. Ia pertemuan persahabatan yang baik dan beliau terus bersetuju dengan cadangan saya supaya masa Malaysia dan Singapura dicepatkan 30 minit.

 

“Saya terangkan bahawa ia akan memudahkan masa kita ketika mengembara kerana kita akan tetap berada dalam zon masa yang tetap iaitu dengan perbezaan satu jam setiap zon.

 

“Namun dalam banyak hal yang lain, kami tidak bersependapat,” kata Dr Mahathir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.