Pakatan Pembangkang Baru Di Sabah Tanpa PAS, Kata DAP

PAS bakal disisihkan dalam gabungan pembangkang dikenali Pakatan Rakyat Baharu yang akan dibentuk di Sabah, kata Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, sebagai tanda protes terhadap parti Islam itu yang bertegas mahu melaksanakan hudud.

 

Wong berkata, gabungan itu hanya dengan PKR, selari dengan gesaan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam pembentukan ‘Gabungan Selamatkan Malaysia.

 

“Seperti yang dikatakan Lim mengenai Gabungan Selamatkan Malaysia, kami mahu cadangkan gabungan baru di Sabah dikenali sebagai Pakatan Rakyat Baharu.

 

“Kami akan cadangkannya kepada PKR, semestinya kepada parti yang terbuka minda yang mahu mempertahankan kesucian Perlembagaan Persekutuan,” kata Wong, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

 

Sementara itu, timbalan pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt semasa ditemui di Parlimen hari ini juga berkata mereka akan bertemu wakil PKR Sabah untuk membincangkan cadangan tersebut.

 

“Diharapkan selepas mesyuarat tersebut, kita boleh teruskan kerjasama ini,” katanya.

 

Cadangan pembentukan baharu ini juga dilihat sebagai usaha DAP Sabah memberi tekanan kepada PAS selepas pada Ahad lalu memutuskan membekukan semua bentuk kerjasama dengan PAS di negeri itu.

 

DAP Sabah mendakwa, PAS mengkhianati dan membelakangi perjanjian kesefahaman bersama PR apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

 

“DAP Sabah melihat senario di Kelantan ini sebagai satu kegagalan terbesar PAS berpegang pada janji dalam kerjasamanya dengan PR.

 

“PAS juga memperlihatkan kegagalan parti itu apabila terjerumus dalam mainan politik kotor Umno.

 

“Keadaan ini turut menjejaskan kerjasama DAP dan PAS di Sabah,” kata Wong dalam satu kenyataan. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.