Nahas Germanwings: Syarikat Penerbangan Laksana Dasar Kokpit Baru

PARIS – Syarikat-syarikat penerbangan dan penggubal dasar telah bergegas untuk meluluskan mandat yang memerlukan dua orang anak kapal di dalam kokpit pada setiap masa berikutan tragedi nahas Germanwings di mana seorang juruterbangnya didakwa telah menjatuhkan kapal terbang itu apabila bersendirian di dalam ruang kawalan tersebut.

 

Syarikat penerbangan tambang murah British, easyJet, merupakan syarikat terbesar untuk mengumumkan perubahan dasarnya pada Khamis selepas pendakwa raya Perancis berkata pembantu juruterbang itu, Andreas Lubitz, 28, telah menguncikan dirinya di dalam kokpit sebelum menjatuhkan pesawat A320 Airbus di kawasan pergunungan Alps Selasa lalu.

 

Pengumuman yang sama turut dibuat oleh kerajaan Kanada, Icelandair dan Norwegian Air Shuttle berikutan nahas yang telah mengorbankan kesemua 150 orang di dalam kapal terbang itu.

 

Pertubuhan Penerbangan Jerman, BDL, berkata mereka juga mahu memperkenalkan peraturan dua orang di dalam kokpit di kalangan ahlinya, manakala Lufthansa berkata langkah itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat industri pada Jumaat.

 

Individu kedua boleh terdiri daripada seorang pramugara atau pramugari jika juruterbang atau pembantu juruterbang perlu keluar dari kokpit sewaktu penerbangan.

 

Thomas Hesthammer, ketua operasi penerbangan Norwegian Air Shuttle, iaitu syarikat penerbangan tambang murah ketiga terbesar di Eropah, berkata tragedi Alps merupakan pencetus kepada perubahan prosedur syarikat tersebut.

 

“Kami telah membincangkan ini untuk satu jangka masa yang panjang tetapi episod ini telah mempercepatkan keadaan,” katanya.

 

Icelandair juga berkata tindakannya didorong berikutan pendedahan mengejutkan minit-minit terakhir pesawat Germanwings 4U 9525 dari Barcelona ke Dusseldorf.

 

Kanada, dalam satu arahan kecemasan oleh kerajaan tersebut, turut mengarahkan semua syarikat penerbangannya untuk memastikan sentiasa terdapat dua orang di dalam kokpit.

 

Arahan itu dikatakan wajib dipatuhi dan dikuat kuasakan serta-merta.

 

“Jika anda membawa penumpang, perkara ini perlu dipatuhi,” kata Menteri Pengangkutan Kanada, Lisa Raitt.

 

“Anda perlu mempunyai dua anak kapal di dek penerbangan pada setiap masa.”

 

Syarikat penerbangan tersohor Kanada, Air Canada, WestJet serta syarikat penerbangan sewa khas Air Transat sebelum ini telah memaklumkan, mereka akan mempraktikan dasar tersebut berikutan tragedi yang melanda Germanwings.

 

Di Eropah, mana-mana syarikat penerbangan yang turut serta akan berbuat demikian secara sukarela disebabkan peraturan keselamatan udara Eropah, berbanding Amerika Syarikat dan Kanada yang ‘senyap’ tentang perkara ini.

 

“Peraturan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah tidak memerlukan juruterbang digantikan oleh seorang anak kapal apabila dia meninggalkan kokpit,” kata seorang jurucakap agensi.

 

Bagaimanapun, juruterbang-juruterbang itu perlu kekal di ruang kawalan tersebut, melainkan untuk ke bilik air atau berehat ketika penerbangan jarak jauh.

 

“Tiada apa-apa yang menghalang sesebuah syarikat daripada memperkenalkan prosedur-prosedur tersendiri yang lebih sukar daripada peraturan-peraturan sedia ada,” kata Frode Lenning, seorang pegawai di pihak berkuasa penerbangan awam Norway.

 

Tiada jaminan

 

Pengawal selia Amerika di Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memerlukan seorang anak kapal untuk berada di kokpit yang berkunci jika salah seorang juruterbang pesawat perlu ke tandas atau untuk keperluan “fisiologi” lain.

 

Penyiasat mengesyaki juruterbang Germanwings itu meninggalkan dek penerbangan untuk ke bilik air, meninggalkan Lubitz yang berusia 28 tahun itu mengambil alih tugas.

 

Dasar kokpit itu sesuatu yang jarang di Eropah, walau bagaimanapun terdapat beberapa syarikat seperti Ryanair, Finnair dan Iberia telah pun melaksanakannya.

 

Carsten Spohr, yang mengetuai syarikat induk Germanwings, Lufthansa, menyifatkan dasar itu bukan sahaja luar biasa di Eropah malah di dunia.

 

Menurut pakar, meskipun bagi syarikat penerbangan yang melaksanakan dasar itu, masih tidak ada jaminan ia akan bebas dari sebarang tragedi yang tidak diingini.

 

Selepas kejadian 9/11 kebanyakan syarikat penerbangan memberi tumpuan kepada ancaman pengganas, dan banyak syarikat yang mengguna pakai sistem mengunci pintu kokpit untuk menghalang pengganas daripada mengambil alih kawalan.

 

Namun, pihak berkuasa Jerman dan Perancis mempercayai bahawa Lubitz tidak terlibat dengan plot pengganas, tetapi motif pegawai muda itu masih menjadi misteri.

 

Jiran-jiran serta rakan-rakan penerbangannya menyifatkan beliau sebagai seorang yang “mesra” dan selalu berjoging dengan teman wanitanya.

 

Nahas Germanwings merupakan tragedi yang paling dahsyat sepanjang sejarah Perancis sejak tahun 1974 apabila pesawat Turkish Airlines terhempas dan menyebabkan 346 orang maut. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.