Nahas Germanwings: Kapten Cuba Pecah Pintu Kokpit Guna Kapak

Berlin – Juruterbang pesawat Germanwings, Kapten Patrick S. yang terkunci di luar kokpit, pernah cuba memecahkan pintu kokpit menggunakan kapak.

 

Akhbar Jerman, Bild yang memetik sumber-sumber keselamatan memberitahu, kapten penerbangan 4U9525 pernah cuba memecahkan pintu kokpit dengan kapak.

 

Pendakwa raya Perancis memberitahu, rakaman suara kokpit yang terkandung dalam kotak hitam pesawat berkenaan menunjukkan, kapten terbabit pernah mengetuk dan cuba merempuh pintu kokpit berkali-kali.

 

Jurucakap Germanwings mengesahkan, pesawat itu dilengkapi sebilah kapak.

 

“Perkakas sedemikian adalah sebahagian daripada kelengkapan keselamatan untuk pesawat A320,” kata jurucakap itu kepada Bild.

 

Semalam, pendakwa raya Perancis mendedahkan, pembantu juruterbang yang berasal dari Jerman, Andreas Lubitz bertindak mengunci dirinya dalam kokpit, sebelum menukar sistem pemanduan automatik pesawat itu kepada paras serendah 100 kaki, iaitu tahap terendah, menyebabkan pesawat A320 itu mula menjunam dan terhempas di Pergunungan Alps.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.