Kerajaan Terus Sokong F1 Demi Impak Ekonomi – Najib

Kual Lumpur – Kerajaan memutuskan untuk terus menyokong Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia kerana ia memberi impak baik dari segi ekonomi kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

 

Beliau berkata dengan mengambil kira impak ekonomi daripada acara berprestij ini kepada Malaysia, termasuk kemunculan pelbagai industri dan perniagaan sampingan untuk menyokong Formula 1, “kerajaan memperakui kepentingan dan kerelevanannya, dan memutuskan untuk terus menyokongnya.”

 

Formula 1 dianggap acara sukan tahunan terbesar dan paling berprestij di negara ini dan berjaya menarik ramai peminat sukan permotoran dari seluruh pelosok dunia,” katanya dalam perutusan dalam buku program rasmi Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia.

 

Najib berkata Grand Prix Malaysia yang pertama kali diadakan pada 1999 dan tahun ini merupakan edisi ke-17, telah berkembang maju dari segi kedudukan dan populariti, dan telah memberikan banyak pendedahan positif tentang Malaysia.

 

“Lebih 500 juta penonton di lebih 180 negara mengikuti perlumbaan ini di TV, dan ramai lagi yang mengikutinya menerusi akhbar dan platform media sosial,” katanya dan menurutnya bagi 16 tahun lepas secara berturut-turut, ribuan peminat telah berkunjung ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menonton grand prix itu.

 

Menyentuh tentang perlumbaan akan datang, Najib mengalu-alukan kedatangan Juara Dunia ketika ini Lewis Hamilton dan pasukan Mercedes tajaan Petronas yang “kembali ke gelanggang sendiri” buat pertama kalinya sejak kemenangan sensasi dua gelaran tahun lepas.

 

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Mercedes AMG Petronas F1, dan Lewis Hamilton bagi musim 2014 yang cemerlang; kami berharap mereka terus mencipta kejayaan musim ini,” katanya.

 

Untuk rekod, Hamilton mengatasi rakan sepasukan Nico Rosberg untuk membolehkan Mercedes mendominasi kemenangan bagi perlumbaan musim pembukaan pada Grand Prix Australia di Melbourne, dua minggu lepas.

 

Najib turut menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Belia dan Sukan dan semua agensi kerajaan yang terbabit dalam acara itu.

 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dan pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atas usaha tanpa mengenal erti penat lelah mereka dalam memastikan semua persediaan dan keperluan untuk menganjurkan perlumbaan ini dipenuhi.

 

“Kepada beratus-ratus pegawai perlumbaan, sukarelawan dan petugas lain yang terlibat, terima kasih atas bantun anda untuk memastikan Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia 2015 berlangsung dengan selamat dan jayanya,” katanya.

 

Najib juga mengucapkan selamat maju jaya dalam perlumbaan pada hujung minggu ini kepada semua pemandu dan pasukan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.