Indonesia Sekali Lagi Ugut Henti Hantar Pekerja Ke Malaysia

Kuala Lumpur – Indonesia sekali lagi mengugut menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia, mengatakan yuran pemprosesan visa terlalu tinggi dikenakan syarikat swasta yang dilantik kerajaan Malaysia.

 

The Star memetik presiden Persatuan Perkhidmatan Tenaga Manusia Indonesia (Apjati) Ayub Basalamah sebagai berkata, syarikat swasta yang berpangkalan di Jakarta mengenakan tambahan RM235 kepada yuran sedia ada RM15 bagi memproses visa kemasukan rakyatnya bekerja di Malaysia.

 

Tambahan pula, syarikat itu hanya menerima bayaran tunai, katanya.

 

“Ia jumlah yang sangat besar untuk kami – 872,000 rupiah. Susah pekerja kami hendak bayar. Memburukkan lagi keadaan, mereka bertegas hendak bayaran dalam bentuk tunai. Kami sudah bantah yuran yang terlalu tinggi, tetapi mereka masih memaksa kami bayar,” kata Ayub kepada akhbar itu.

 

Pada Januari tahun ini, Apjati, persatuan terbesar agensi pengambilan pekerja swasta di Indonesia, yang menghantar lebih 150,000 rakyat Indonesia bekerja di Malaysia setiap tahun, mengancam berhenti menghantar pekerja berikutan kenaikan mendadak yuran pemprosesan visa.

 

Kenaikan itu bermaksud kos tambahan sekitar RM35.25 juta setiap tahun, yang perlu ditanggung oleh pekerja dan bukannya majikan Malaysia, kecuali dalam kes pembantu rumah.

 

Mendesak Putrajaya untuk campur tangan dalam isu ini, Apjati yang mewakili lebih 500 operator agensi pekerjaan, memberi amaran akan membuat laporan polis dan akan menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia.

 

Langkah pertama nampaknya sudah dilakukan apabila Ayub berkata beliau menghantar surat kepada Parlimen Indonesia dan kementerian sumber manusia dan kementerian luar republik itu, menggesa langkah tersebut diambil.

 

Duta Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu The Star persatuan itu tidak melakukan sebarang percubaan berjumpa beliau membincangkan isu tersebut.

 

“Mereka tahu saya selalu terbuka untuk berbincang. Saya terkejut kerana tidak terima sebarang aduan mengenai syarikat itu yang hanya menerima bayaran tunai,” katanya.

 

Terdahulu, Zahrain berkata, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan kedutaan memberi kepada pihak luar (outsource) perkhidmatan pemprosesan visa dan terdapat aduan mengenai kenaikan yuran selepas ia bermula Disember lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.