Harimau Malaya Kena ‘Kenduri’ 0-6 Di Oman

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar tewas tetapi Harimau Malaya dimalukan dengan kekalahan besar 6-0 oleh Oman dalam perlawanan persahabatan di Stadium al-Seeb di Muscat semalam, yang turut menyaksikan ketua pasukan Safiq Rahim mendapat kad merah pada minit ke-89.

 

Oman yang dikendalikan oleh bekas pengurus Olympique Lyon dan Cameroon, Paul Le Guen jelas tidak mampu disaingi di semua bahagian oleh anak-anak buah Dollah Salleh yang mula dibolosi seawal minit ke-15 oleh jaringan Yaqoob Abdul Karim, yang turut menjaringkan gol kelima pada minit ke-67.

 

Gol lain diperoleh menerusi Abdulaziz Al-Muqbali (minit ke-42, 51), Qasim Said (minit ke-47) dan Mohsin Al-Khaldi (minit ke-88).

 

Malaysia hanya berupaya membuat satu percubaan tepat ke gawang Ali Al-Habsi, penjaga gol kelab Liga Kejuaraan England, menerusi Norshahrul Idlan Talaha sepanjang perlawanan yang jelas terlalu berat sebelah.

 

Keputusan ini merupakan kekalahan terbesar kepada Oman di pentas antarabangsa dengan kali terakhir mereka tewas 0-3 pada 3 September 2010 ketika dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal.

 

Pemain dari kelab Saham, Abdul Karim memulakan pesta jaringan Oman pada minit ke-15 selepas S. Kunanlan dan Mohd. Muslim Ahmad gagal mengekang pergerakan penyerang itu dalam kotak penalti.

 

Kesilapan ketua pasukan Safiq, yang gagal menolak bola dengan kuat kepada Mohd. Fahrizal Marlias hampir dihukum oleh Al-Muqbali namun mujur sepakannya sedikit serong ke sebelah kiri.

 

Oman mengakhiri permainan separuh masa pertama dengan keputusan 2-0 apabila Al-Muqbali menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 ekoran tindakan Kunanlan menjatuhkan Mohammed Al-Siyabi di dalam kawasan sendiri.

 

Derita Harimau Malaya berterusan pada babak kedua walaupun Dollah memasukkan tiga pemain baharu iaitu Joseph Kalang Tie, Khairul Azhan Mohd. Khalid dan Baddrol Bakhtiar.

 

Said mudah mengatasi kawalan Kunanlan yang lambat mengekori pergerakan pemain kelab Al-Nasr itu pada minit ke-47 sebelum dia mudah menanduk masuk menewaskan Khairul Azhan yang tidak berbuat apa-apa.

 

Empat minit kemudian, Al-Muqbali menjadikan kedudukan 4-0 dan Abdul Karim meneruskan malam gemilang Oman selepas memperdayakan pemain yang baharu dimasukkan, Afif Amiruddin melalui tandukan kencang.

 

Safiq melengkapkan hari malang buat Harimau Malaya apabila dia dilayangkan kad merah ekoran membantah tindakan pengadil memberi penalti pada minit ke-88 dan Al-Khaldi mudah memperdayakan Khairul Azhan melalui teknik sepakan penalti yang menarik. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.