F1 Sepang: Rosberg Kuasai Sesi Ujian Pertama

SEPANG – Pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Nico Rosberg menguasai sesi ujian pertama Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia, sebentar tadi, namun rakan sepasukannya, Lewis Hamilton terpaksa menamatkan sesi lebih awal akibat masalah enjin.

 

Hamilton yang juga penyandang juara dunia dan pemenang perlumbaan di GP Australia, dua minggu lepas dijangka akan meneruskan dominasi namun belumpun sempat melengkapkan satu pusingan, dia diarahkan menamatkan sesi ujian itu kerana bimbang masalah teknikal yang terjadi pada enjinnya akan melarat.

 

Pelumba kelahiran Britain itu hanya keluar selepas 30 minit selepas sesi ujian berjalan dan ketiadaannya pantas dimanfaat rakan sepasukan, Rosberg yang melakar masa terpantas 1 minit 40.124 saat.

 

“Ada bunyi klik di bahagian belakang, saya menghentikan jentera seperti yang kamu arahkan namun saya boleh membawanya kembali (ke pit pasukan),” kata Hamilton menerusi radio pasukan.

 

Begitupun, jurutera pasukannya membalas: “Kami agak bimbang mengenai perkara ini kerana ia adalah enjin untuk perlumbaan.”

 

Keputusan itu menyaksikan Hamilton terpaksa pulang ke pit pasukan menggunakan motosikal.

 

Pasukan yang dianggap sebagai pencabar utama Mercedes musim ini, Ferrari turut membuktikan kemampuan mereka dengan kedua-dua pemandunya, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel masing-masing mencatat masa kedua dan ketiga terpantas.

 

Turut bergelut ketika sesi ujian ialah pelumba McLaren Honda, Fernando Alonso yang sekadar mencatat masa ke-14 terpantas pada penampilan pertamanya musim ini.

 

Begitupun, masalah lebih teruk dihadapi rakan sepasukannya, Jenson Button yang melakukan masa 1:43.100s di kedudukan ke-17, jauh lebih buruk berbanding beberapa pelumba baharu seperti Raffaele Marcielo (Sauber) ke-10 terpantas dan Carlos Sainz (Toro Rosso) kelima terpantas.

 

Sesi ujian masa kedua hari ini berlangsung pada jam 2 hingga 3.30 petang ini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.