Warga Emas Tak Mengaku Salah Hina Nabi Muhammad

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang bertindak biadab serta kurang ajar menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda, Saidatina Aisyah melalui laman Facebook pada 17 Februari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Wai Foo Sing, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Lelaki berusia 68 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebook miliknya iaitu Foo Sing Wai pada 17 Februari lalu dengan memuat naik satu hantaran yang mana tindakan tersebut berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni dengan alasan agama di antara orang beragama Islam dan bukan Islam di negara ini.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298A (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebook miliknya iaitu Foo Sing Wai secara sedar pada tarikh sama dengan memuat naik satu hantaran yang jelik dan menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Kanun Keseksaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun dan denda hingga RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal memohon kepada mahkamah agar jaminan sekurang-kurangnya RM30,000 dikenakan kepada tertuduh berikutan kesalahan serius yang mendapat perhatian masyarakat.

Beliau berkata, kadar jaminan yang rendah akan menyebabkan persepsi negatif timbul dan masyarakat kurang yakin dengan sistem perundangan negara.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah atas alasan dia tidak bekerja dan mengalami masalah kesihatan serta berusia 68 tahun dan tinggal di Pahang.

Dia turut memberitahu, anaknya dalam perjalanan ke mahkamah namun tidak tahu nilai wang yang dibawa.

Mahkamah memberikan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April nanti.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.