SPRM Gesa Orang Ramai Tampil Beri Maklumat Kes Tanah Ijok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak yang mempunyai maklumat tentang isu tanah di Ijok, Selangor supaya mengemukakan maklumat berkenaan kepada pihaknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM sedang memeriksa dokumen berkaitan tanah itu yang dirampas daripada lima syarikat, termasuk sebuah firma guaman Rabu lalu.

Memandangkan siasatan tentang perkara itu masih berjalan, beliau meminta agar suruhanjaya itu diberi masa dan ruang untuk meneliti maklumat yang dikumpulnya.

“Kami berharap orang ramai akan membantu dengan menyalurkan segala maklumat yang mereka miliki tentang isu tanah itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina SPRM bersama masyarakat Cina di Putrajaya hari ini.

Isnin lalu, Barisan Nasional Selangor berkata pihaknya akan membuat laporan kepada SPRM tentang isu tanah Ijok itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohamed Satim Diman berkata beberapa peneroka juga akan membuat laporan kepada SPRM berkaitan ketidakpuasan hati mereka tentang pampasan yang diterima kerana ia tidak mengikut harga pasaran semasa.

Berhubung siasatan mengatur perlawanan melibatkan pasukan bola sepak Sarawak pula, Azam berkata siasatan masih dilakukan terhadap dua pemain negeri itu dan seorang lelaki yang dipercayai menjadi ‘bookie’.

“Walaupun dibebaskan dengan ikat jamin, ketiga-tiga mereka tidak dilepaskan daripada tuduhan. Sekali lagi, saya ingin tegaskan bahawa, biarlah kami selesaikan siasatan kami dahulu. Mereka masih belum bebas,” katanya.

Pada 14 Feb, ketiga-tiga mereka ditahan SPRM selepas Persatuan Bolasepak Sarawak melaporkan ia mengesyaki beberapa pemain terlibat dengan perbuatan mengatur perlawanan berikutan kekalahan pasukan itu 3-2 kepada FELCRA United di Stadium Sarawak pada 10 Feb.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.