Kelulusan Konsesi Judi Sukan dan Tol, Mahathir Tidak Rujuk Menteri Kabinet

Kelulusan perjudian sukan selama 20 tahun oleh Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada Jun 2003 adalah bukti menteri kabinet semasa pemerintahannya diletakkan didalam kegelapan.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC) Datuk Eric See-To Choong berkata, hal ini turut dilaporkan oleh media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) dimana pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya mengetahui perjanjian konsesi perjudian itu selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan.

“Memandangkan Tun Abdullah juga ada dalam kabinet pada tahun-tahun sebelum Tun Mahathir bersara, ini bermakna bahawa Tun Mahathir tidak membawa pemberian lesen ini kepada kabinet untuk perbincangan dan kelulusan.

“Ini membuktikan bahawa kabinet tidak diberitahu langsung mengenai semua perjanjian konsesi semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya dipetik kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas editor kumpulan NST, Mustapha Kamil Mohd Jano mempertikaikan dimana Datuk Seri Najib Tun Razak ketika urusan perjanjian konsesi tol dibuat pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

Kata Mustapha, beliau tidak percaya Najib benar-benar mahu menghapuskan tol sepertimana diumumkan sebelum ini dan menganggap ianya sebagai gimik politik bagi mendapatkan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelas Eric, perjanjian konsesi perjudian dengan harga RM25 juta selama 20 tahun dibuat empat bulan sebelum Dr Mahathir melepaskan jawatan adalah contoh jelas dimana calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu langsung tidak berbincang dengan ahli kabinetnya.

“Pada masa itu, eksekutif industri permainan Malaysia menganggarkan bahawa operasi pertaruhan sukan yang lumayan seperti itu, yang menawarkan pertaruhan untuk acara seperti pertandingan bola sepak tempatan dan asing serta perlumbaan kuda, boleh menjana pendapatan tahunan kira-kira RM1 bilion”.

Dr Mahathir juga mengakui meluluskan perjanjian konsesi berkenaan tujuh tahun selepas bersara dengan alasan “Orang Cina suka berjudi”.

Menjelaskan kedudukan Najib didalam kabinet Dr Mahathir, Eric berkata jawatan kabinet pertamanya adalah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan pada tahun 1986 sebelum menjadi Menteri Pelajaran dan kemudiannya Menteri Pertahanan.

Ujarnya, urusan perjanjian konsesi tol kebiasaannya dirunding dibawah Kementerian Kewangan atau Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dibawah Jabatan Perdana Menteri – yang tidak disandang Najib dibawah kabinet Dr Mahathir.

Individu yang paling layak dipersoalkan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin yang pernah mengepalai Kementerian Kewangan dan EPU.

Tambah Eric, Dr Mahathir secara terbuka telah mengambil tanggungjawab terhadap perjanjian tol berat sebelah pada tahun 2007 apabila beliau dipetik sebagai berkata:

“Ini adalah salah satu perkara yang kita perlu betulkan. Apa yang ada adalah satu kabinet yang tidak begitu berpengetahuan setiap masa kerana ia bukan terdiri daripada pakar tetapi ahli politik (dan) sesetengah ahli politik seperti saya kadang-kadang boleh menjadi bodoh,” kata Dr Mahathir seperti dilaporkan The Sun Daily.

Jelasnya, perjanjian konsesi perjudian dan konsesi tol secara senyap oleh Dr Mahathir adalah bukti jelas bahawa tidak semua perjanjian konsesi dibincangkan didalam kabinet sepertimana keraguan terhadap anugerah tender Telekom Malaysia kepada syarikat Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Opcom Sdn Bhd, kurang dua bulan sebelum Dr Mahathir bersara.

“Mungkin Mukhriz mahu menjelaskan ini?” kata Eric membuka ruang kepada anak Dr Mahathir untuk memberi pandangannya berhubung isu berkenaan. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.