Sejarah Sumbangan Arab Saudi Kepada Malaysia Selain Derma RM2.6 Bilion

KUALA LUMPUR – Sumbangan derma RM2.6 bilion oleh kerajaan Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan mempromosikan agenda Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia bukanlah kerjasama pertama daripada negara Timur Tengah tersebut.

 

Pensyarah Kanan, Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Fauzi Abu berkata, sejarah hubungan Saudi – Malaysia sudah dimeterai sejak awal kemerdekaan sewaktu era pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

 

“Sebaik sahaja mengumumkan kemerdekaan negara pada 1957, Tunku Abdul Rahman melawat Arab Saudi. Di samping menunaikan haji, beliau juga mengambil peluang merapatkan hubungan diplomasi dengan kerajaan Saudi,” kata Mohd Fauzi dipetik kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia.

 

Ujarnya, Raja Faisal yang menerajui Arab Saudi pada 1960-an juga memainkan peranan sebagai pendamai sewaktu berlakunya konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada ketika itu.

 

“Di sinilah bermulanya hubungan diplomatik secara rasmi antara Malaysia-Arab Saudi yang turut dibantu oleh keakraban hubungan peribadi antara Tunku Abdul Rahman dan Raja Faisal.

 

“Lawatan Arab Saudi ke Malaysia sejak 1970an yang dimulakan oleh Raja Faisal dan ini silih berganti antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara,” katanya.

 

Isu derma RM2.6 bilion kerajaan Arab Saudi kepada Najib sebelum ini dijadikan kontroversi selepas Wall Street Journal melaporkan dana tersebut dialihkan daripada akaun syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Ianya kemudian dijadikan isu politik pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan derma tersebut diberikan oleh ‘Pak Arab gia’.

 

Media antarabangsa BBC kemudiannya melaporkan jumlah RM2.6 bilion (USD681 juta – nilai 2013) itu merupakan pemberian daripada Almarhum Raja Abdullah kepada Najib secara peribadi.

 

Laporan tersebut disokong oleh Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir yang menegaskan dana terbabit merupakan derma tulen dan negara berkenaan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripadanya.

 

Mengulas mengenai sumbangan langsung lain kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia, Mohd Fauzi menjelaskan, negara tersebut juga pernah menyumbang USD250 juta pada 1970-an bagi membolehkan Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3) dijalankan.

 

“Dalam masa sama, kerajaan Arab Saudi turut memberi sumbangan kepada aktiviti dakwah, pendidikan dan pembangunan Islam di Malaysia dengan memberikan bantuan kewangan kepada agensi-agensi berkaitan seperti Perkim, Yadim, pembinaan Masjid Universiti Sains Malaysia (USM) dan tidak terkecuali sumbangan bagi pembinaan Masjid Negara,” tegasnya.

 

Tambah beliau, hubungan ekonomi Malaysia-Arab Saudi terus erat dan mapan selepas Syarikat Perkapalan Saudi (National Shipping Company of Saudi Arabia) dibenarkan memasuki pelabuhan negara yang menghasilkan dagangan bernilai mencecah berbilion ringgit setiap tahun.

 

“Hasil kerjasama ini juga membolehkan beberapa perjanjian turut dimeterai antara Malaysia dan Saudi antaranya adalah perjanjian mengenai pendidikan 1978, perjanjian persefahaman dalam pendidikan 1982 dan perjanjian penajaan bagi pembinaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 1985,” ujarnya.

 

Arab Saudi yang diterajui oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud terus menyatakan komitednya untuk membantu kerajaan Malaysia mempertahankan Islam dan membangunkan Ummah secara amnya.

 

“Kami ingin menegaskan bahawa kerajaan Arab Saudi secara umumnya akan sentiasa membantu dalam apa jua perkara bagi manfaat Islam dan membantu umat Islam sejagat.

 

“Kami bersedia menghulurkan bantuan dan segala kekuatan yang kami miliki untuk membantu Malaysia merealisasikan apa jua usahanya dalam membantu umat Islam yang lain,” titah baginda pada Majlis Santapan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, semalam. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.