MT Umno Bidas Dr M Selamba ke ‘Konvensyen Reformis’

Tun Dr Mahathir Mohamad dibidas kerana dengan “selamba” hadir ke Konvensyen Reformis Malaysia 2017, kumpulan yang menentang pentadbirannya pada 1998, di Shah Alam, kelmarin.

 

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi berkata konvensyen itu untuk mengingati “reformis 1998”, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana isu liwat.

 

“Sebelum itu Anwar mendakwa dia dipecat, dipenjara, dilebamkan mata oleh Mahathir kerana Mahathir rasa kedudukannya digugat oleh Anwar.

 

“Tetapi di konvensyen ini, Tun M menebalkan muka untuk hadir walaupun pada tahun 1998 dia digelar sebagai ‘mahazalim’.

 

“Pada ketika itu Tun M mendakwa demonstrasi bukan budaya kita,” katanya.

 

Puad juga berkata Mahathir “dengan muka selamba turut melaungkan slogan reformasi”.

 

Kemunculan mengejut Mahathir dalam acara di Shah Alam kelmarin disambut ejekan sebahagian peserta yang turut menjerit perkataan “firaun” padanya, sebelum ditenangkan pengerusi majlis.

 

Berucap dalam acara itu, Mahathir menyeru orang ramai melupakan perkara lama dan menumpukan usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

 

“Lepas itu kalau nak ambil tindakan ke atas saya, ambillah,” katanya disambut tepukan dan sorakan sekali lagi.

 

Sementara itu, mengulas kesediaan Mahathir itu, Puad mendakwa jika BN jatuh pun, Mahathir tetap akan terlepas.

 
“Dia tahu jika BN tumbang nanti, tiada tindakan akan dikenakan ke atasnya sebab dia sudah ‘kowtim’ dengan Lim Kit Siang dan DAP,” katanya.

 

Puad jua berkata Mahathir marah pada Anwar sebelum ini susulan ucapan semasa merasmikan Konvensyen Umno Johor di Pulau Sibu pada 1998.

 

Dalam ucapan itu, kata Puad, Anwar mengajak rakyat melakukan reformasi sebelum terlambat seperti mana yang berlaku di Indonesia kerana Suharto dijatuhkan melalui demontrasi jalanan.

 

Anwar juga, kata Puda, mendesak reformasi sistem kewangan setelah Mahathir dikatakan cuba menyelamatkan syarikat perkapalan anaknya.

 

“Maka dakwaan (Timbalan Presiden PKR Datuk Seri) Azmin (Ali) adalah tidak benar bahawa Anwar tidak pernah merancang untuk menjatuhkan Tun M ketika itu.

 

“Bukti liwat dijadikan senjata untuk memusnahkan kembali Anwar,” katanya lagi.

 

“Justeru jangan hairan kehadiran Tun M ke konvensyen kali ini adalah langkah berpura pura untuk terus memusnahkan Anwar kerana dia amat alergik dengan perkataan ‘reformasi’.”-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.