Kris Pun Rocker Juga

Jika mahu melihat takrifan sebenar persembahan seorang diva, Krisdayanti yang mesra disapa Kris adalah contoh paling tepat. Meski ada kesilapan kecil, itu hanya aspek teknikal kerana penyanyi Indonesia itu sentiasa memberikan yang terbaik.

 

Itu yang dapat disaksikan dalam Konsert Romansa Krisdayanti 2017 di Panggung Sari, Istana Budaya, pada Jumaat lalu. Penyanyi berusia 41 tahun itu cukup bertenaga sepanjang beraksi di atas pentas.

 
Kris tampil cukup memikat, malah penyanyi terkenal dengan lagu Menghitung Hari ini menonjolkan pelbagai sisi kemampuannya yang belum pernah ditunjukkan dalam mana-mana konsert.

 

Terutama menerusi segmen rock, Kris membawakan angin baru dalam persembahannya. Segmen itu membuktikan dirinya penyanyi serba boleh apabila berjaya mengalunkan lagu Bring Me To Life, medley Fantasia Bulan Madu dan Suci Dalam Debu, Mengapa dan It’s My Life dengan baik.

 

Dalam segmen itu juga dia turut menyelitkan lagu Cobalah Untuk Setia dengan susunan muzik yang berbeza. Menerusi genre rock, lagu itu berubah 360 darjah dan sedap didengar.

 

Lebih istimewa, Datuk Rossa yang hadir menonton persembahan itu sempat ‘merampas’ mikrofon daripada Kris ketika menyanyikan Suci Dalam Debu. Dewan bertukar menjadi gamat apabila Rossa mengalunkan suara dengan spontan.

 

Semestinya, malam itu sangat berharga buat penyanyi tersohor itu apabila persembahannya turut ditonton kakaknya, Yuni Shara, Mayang Sari dan Puteri Indonesia 2013, Whulandary Herman.

 

Bukan saja menyinar dengan genre rock, Kris turut menukar mood malam itu kepada era 70-an dengan lagu Allahyarham biduanita Puan Sri Saloma. Menerusi lagu Kuala Lumpur dan Apa Guna Berjanji, set pentas kembali ke zaman itu.

 

Tidak ketinggalan, dia turut mendedikasikan persembahan malam itu kepada penyanyi legenda Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, sekali gus mencuit emosi penonton. Mendendangkan lagu Hujan dan Salam Terakhir, Kris tidak mampu menyembunyikan perasaan sebaknya.

 

Apa yang boleh disimpulkan, Kris cukup teliti dengan perjalanan konsertnya. Persembahannya tidak mengecewakan penonton.

 

Paling menarik perhatian, Kris tidak canggung melayan peminat seperti rakan baiknya. Dia berseloroh, berborak dan berkongsi banyak perkara seolah-olah tiada jurang antaranya dan peminat.

 

Aspek teknikal segalanya tampak hebat. Malah, Kris yang beberapa kali bertukar baju tidak mengambil masa lama untuk berbuat demikian.

 

Menerusi lima segmen, antara lagu yang dinyanyikan Kris adalah Pilihlah Aku, Pengabadian Cinta, Syurga Yang Tak Dirindukan, Ku Tak Sanggup, Menghitung Hari, Send My Love (Adele) dan Cinta.

 

Tidak ketinggalan, lagu Hanya Dia, I’m Sorry Goodbye, Jika Kau Tak Datang, Rembulan, Semua Jadi Satu, Mahadaya Cinta, Sleep to Dream, Goyang Dumang, Penasaran dan Mencintaimu.

 

Menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai, Kris mendapat penghormatan apabila Datuk Jamal Abdillah turut hadir berduet dengannya. Begitu mempesonakan, kedua-duanya berjaya memukau penonton.

 

Kris menzahirkan rasa syukur apabila konsert itu berjalan lancar.

 

“Saya mahu peminat terhibur. Biar apa saya persembahkan itu berbaloi dengan harga tiket dibayar penonton dan saya perlu buat yang terbaik,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.