Kerajaan Pusat Sedia Peruntukan RM40 Juta Tukar Paip Air Berkarat Di Kelantan

MACHANG – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM40 juta untuk menggantikan paip air yang berkarat di Kelantan tahun ini bagi menjamin rakyat mendapat bekalan air bersih.

 

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata projek itu akan dilaksanakan segera memandangkan paip-paip air di kebanyakan kawasan tidak pernah diganti sejak 40 tahun lepas.

 

“Keadaan itu menyebabkan sebilangan besar rakyat Kelantan terpaksa menggunakan air kotor dan berkarat,” katanya kepada pemberita pada majlis Kasihi Pekebun dan Program Pembangunan Risda dan penyampaian bantuan banjir di Kampung Dewan di sini, semalam.

 

Lebih 360 mangsa banjir di sekitar kampung itu masing-masing menerima bantuan makanan asas termasuk beras, gula, biskut dan teh.

 

Ahmad Jazlan yang juga anggota Parlimen Machang berkata terdapat di kalangan penduduk yang tidak mendapat bekalan air yang sempurna apabila bekalan sering terputus akibat paip tersumbat.

 

“Kerajaan akan melaksanakan segera projek memasang paip baharu itu apabila Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengeluarkan senarai antara lokasi yang perlu diberi keutamaan dalam penukaran paip tersebut,” kata Ahmad Jazlan.

 

Beliau berkata peruntukan itu juga akan digunakan bagi memulihkan kerosakan paip air yang menggunakan sumber air bukit.

 

Kerajaan pusat memandang serius masalah bekalan air bersih di Kelantan dan mahu perkara tersebut diselesaikan segera untuk faedah rakyat. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.