Ini Dia Satu-Satunya Restoran Korea Utara Di M’sia

Selepas pembunuhan Kim Jong-nam, sebuah restoran yang tidak begitu terkenal di Kuala Lumpur tiba-tiba menjadi perhatian media.

 

Alasannya mudah: Ia satu-satunya kedai makan Korea Utara di Malaysia.

 

Restoran Koryo itu beroperasi dari Jalan Kamuning di Imbi, Bukit Bintang – kawasan komersial yang sibuk di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

 

Hasilnya pula akan dibawa pulang ke Pyongyang, yang dilihat antara saluran kemasukan mata wang asingnya.

 

Menurut Xin Hua, agensi berita kerajaan China, Korea Utara pertama kali membuka restorannya di Ampang, Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai Restoran Pyongyang.

 

Menteri kerja raya sebelum ini Ong Tee Keat dan bekas duta Korea Utara antara yang hadir dalam acara pembukaan restoran itu, menurut laporan media.

 

Ia bagaimanapun bertahan beberapa tahun sahaja sebelum Koryo pula dibuka.

 

Koryo beroperasi dari jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang dan 5.30 hingga 11 malam, setiap hari.

 

Petugas media turut mengerumuni restoran itu sejak pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Jong-un, menyebabkan ia kini ditutup di sebelah pagi.

 

Walaupun Facebook dan YoutTube disekat di Korea Utara yang mengamalkan penapisan ketat, Koryo sebaliknya mempunyai akaun Facebook sendiri, walaupun jarang-jarang dikemas kini.

 

Status terakhirnya di muat naik pada November 2015.

 

Lawatan Malaysiakini mendapati terhadap pondok keselamatan di pintu masuk Koryo. Dua orang pegawai bertugas, seorang untuk shif malam dan seorang lagi siang.

 

Ia mempunyai papan tanda nama kedai dalam tiga bahasa – Korea, bahasa Inggeris dan Cina.

 

Orang ramai yang lalu lalang di situ mungkin akan tersilap menyangka ia sebagai restoran mewah Korea Selatan.

 

Di depan Koryo, bersebelahan jalan, terdapat sebuah kedai mamak.

 

‘Dilarang ambil gambar, kami pemalu’

 

Memasuki restoran, pertama kali yang anda akan lihat ialah bendera Korea Utara. Disambut pelayan, saya dan seorang rakan dibawa ke meja makan.

 

“Maaf, tak boleh ambil gambar,” itu perkara pertama kami diberitahu.

 

Bagaimanapun, gambar makanan dibenarkan diambil, kata pelayan wanita dengan muka serius tetapi tidak lekang senyuman itu.

 

Di dindingnya memang tertulis perkataan “No photos, we are shy” dengan smile senyuman :).

 

Di atas meja kami ada pemanggang, sama seperti di restoran Korea Selatan.

 
Melihat menu, kami lihat harganya boleh tahan mahal. Kos semangkuk sup misalnya antara RM30 hingga RM60.

 

Koryo juga menyediakan makanan tradisional Korea seperti mi sejuk, sup ayam dan ginseng serta wain ginseng Korea Utara.

 

Kira-kira 10 meja dimuatkan dalam kedai itu. Di bahagian belakang terdapat bar kecil dengan pelbagai jenis minuman keras.

 

Kami ingin mencuba bir Korea Utara tetapi malangnya tidak dijual di situ. Arak lain pula dijual lebih RM200 sebotol. Sudah tentu kami batalkan hasrat itu kerana bajet pun terhad.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.