Gunung Berapi Di Guatemala Meletus

BANDAR RAYA GUATEMALA – Gunung berapi yang mendapat jolokan Gunung Berapi Api meletus di Guatemala kelmarin, menghamburkan lahar dan abu yang menghujani komuniti-komuniti berhampiran dan berisiko sampai ke ibu kota negara, Bandar Raya Guatemala, kata pihak berkuasa perlindungan awam.

 

Dinamakan Volcan de Fuego oleh penduduk tempatan, gunung berapi itu merupakan antara tiga gunung berapi aktif di Guatemala dan terletak sekitar 45 kilometer ke barat daya ibu kotanya.

 

Letusan kelmarin adalah yang kedua pada tahun ini.

 

Jurucakap Penyelaras Pengura­ngan Bencana Nasional, David de Leon berkata, aktiviti Gunung Fuego stabil selepas melalui fasa letusan yang berlanjutan selama 13 jam.

 

Gunung berapi setinggi 3,763 meter (m) itu mengeluarkan bunyi dentuman dan meletus dengan kuat dari pukul 11.28 pagi (waktu tempatan) kelmarin.

 

Pada tengah hari kelmarin, letusan itu menghamburkan kepulan abu setinggi 4,500m ke udara, kurang 500m berbanding pagi hari yang sama.

 

Gunung berapi itu turut mengalirkan lahar dengan aliran paling panjang adalah sejauh 1,600m.

 

Walaupun abu daripada letusan itu boleh sampai ke Bandar Raya Guatemala, kota raya itu belum terjejas setakat ini. Abu Gunung Fuego sebaliknya melitupi komuniti di empat kawasan berhampiran.

 

Guatemala yang terletak di rantau Amerika Tengah turut mempunyai dua gunung berapi aktif lain iaitu Santiaguito dan Pacaya. – AFP/kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.