Arab Saudi Turut Kenakan GST & Perkenal Bantuan Wang Umpama BR1M – Najib

KUALA LUMPUR – Isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak wajar dianggap sebagai rasuah kerana kerajaan Arab Saudi turut menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyatnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Sehubungan itu, Najib berkata, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak seharusnya mempolitikkan isu BR1M kerana ia memanfaatkan rakyat.

 

“Semalam saya berbual dengan beberapa menteri kerajaan Arab Saudi dan kerajaan itu ada buat beberapa langkah. Pertama, penduduk buka akaun bank untuk dimasukkan wang kepada keluarga yang memerlukan bantuan.

 

“Kalau kerajaan Arab Saudi beri bantuan dalam bentuk wang kepada rakyat yang memerlukan bantuan, mereka tak anggap itu rasuah. Kalau kita buat ada orang kata kita rasuah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai di sini, Isnin.

 

Najib berkata, kerajaan Arab Saudi akan turut memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara itu tak lama lagi.

 

“Ini maknanya kita bukan salah langkah. Kalau kerajaan Arab Saudi yang kaya minyak pun perkenalkan GST maka mesti ada sebab munasabah GST diperkenalkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai di sini, Isnin.

 

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

 

Sempena lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Najib turut diberitahu bahawa harga minyak di Arab Saudi meningkat sehingga 50 peratus.

 

“Tetapi rakyat kita riuh rendah apabila harga minyak naik 10 sen, 20 sen,” katanya.

 

Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak termakan hasutan pihak pembangkang.

 

“Apa yang ingin saya ingatkan bahawa janganlah kelirukan atau hasut rakyat kerana setiap langkah yang dibuat kerajaan bertujuan untuk kepentingan kita jangka pendek dan panjang,” tegas Najib.

 

Seramai 408 penduduk rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi mendapat satu unit pangsapuri baharu berkeluasan 900 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

 

Pembinaan semula ini dibuat di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar yang bermula pada Mac 2014 dan siap sepenuhnya pada 31 Oktober tahun lalu. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.