Arab Saudi Akan Tambah Jumlah Biasiswa Kepada Pelajar Malaysia Tahun Depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan jumlah pemberian biasiswa penuh bagi pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara itu tahun depan.

 

Ketua Perwakilan Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi di sini, Dr Zayed Al-Harirthi berkata, buat masa ini, lebih 100 pelajar Malaysia sedang menuntut di negara itu.

 

Menurutnya, keputusan menambah jumlah biasiswa adalah berdasarkan lebih 300 permohonan diterima daripada pelajar Malaysia tahun lepas.

 

“Hanya terdapat 100 biasiswa untuk pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian di Universiti Islam Imam Mohamed bin Saud di Riyadh, tahun lepas.

 

“Kami ada banyak lagi universiti di Arab Saudi dan akan menawarkan lebih banyak biasiswa untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di universiti-universiti lain,” katanya kepada pemberita pada majlis suai kenal antara media Malaysia dan Arab Saudi di sini, malam tadi.

 

Katanya, kecuali jurusan perubatan, biasiswa tersebut meliputi pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk semua jurusan lain.

 

Selain pembiayaan kos pengajian, penerima biasiswa itu bagi calon sarjana muda diberi SAR1,700 (RM2,014) semasa tiba di negara itu dan SAR1,800 (RM2,133) untuk calon siswazah.

 

Penerima biasiswa itu akan menerima elaun bulanan, perumahan percuma, insurans perubatan dan kemungkinan visa untuk ahli keluarga pelajar cemerlang.

 

Majlis anjuran pejabat pewakilan kebudayaan Arab Saudi itu, diadakan sempena lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud selama empat hari ke Malaysia, yang bermula semalam. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.