Polis Rampas Pil Kuda Bernilai RM8.3 Juta

KOTA BHARU – Polis merampas sebanyak 414,000 pil kuda bernilai RM8.3 juta, dipercayai untuk pasaran Pantai Timur dalam serbuan di Rantau Panjang, Selasa lalu.

 

Rampasan dilakukan dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman selama empat hari, bermula 20 Februari lalu.

 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata dua operasi itu membabitkan tujuh serbuan, sekali gus melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Malaysia pada tahun ini.

 

Polis turut menahan 14 suspek berusia 27 hingga 69 tahun termasuk lima rakyat Thailand dan dua wanita warga tempatan.

 

Operasi pertama membabitkan enam serbuan pada 20 hingga 22 Februari dan menahan 11 suspek termasuk lima rakyat Thailand.

 

Dalam operasi kedua Selasa lalu, tiga suspek rakyat tempatan termasuk seorang wanita ditahan dan 414,000 pil kuda bernilai RM8.3 juta dirampas.

 

Polis turut menyita harta suspek bernilai RM1.2 juta yang membabitkan lapan kereta, barang kemas, dua utas jam tangan, wang tunai RM34,350 serta akaun bank berjumlah RM276,611.

 

“Kita percaya semua 14 suspek itu terbabit dalam sindiket penyeludupan pil kuda di sempadan yang mempunyai rangkaian luas di negara jiran,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) sini, hari ini.

 

Mohd Dzuraidi berkata, siasatan turut mendapati suspek modus operandi dengan mengubahsuai kenderaan untuk menyorok dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa selepas melalui di laluan sah sempadan Malaysia-Thailand.

 

“Sindiket terbabit sudah beroperasi enam bulan dan menyeludup pil kuda untuk pasaran Pantai Timur,” katanya.

 

Seramai 10 suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lagi termasuk dua lelaki rakyat Thailand dibebaskan tanpa syarat. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.