Perluas Konsep UTC – PM

Kuching – Kerajaan akan memperluaskan lagi konsep Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai pusat sehenti agensi dan jabatan Kerajaan Pusat di Sarawak selepas pembukaan pusat itu di bandar utama negeri ini sebagai komitmen kerajaan memberi khidmat kepada rakyat, terutama kepada penduduk luar bandar.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perluasan UTC menerusi pusingan kedua di beberapa kawasan lain di negeri ini akan membolehkan hasrat kerajaan meningkatkan lagi semua kualiti perkhidmatan melalui pusat itu dengan mengambil kira faktor keluasan negeri ini .

 

“Selepas pusingan pertama selesai, kita boleh mempertimbangkan pusingan kedua bagi memenuhi saranan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang memohon lebih banyak UTC diwujudkan di Sarawak.

 

“Saya nak menyatakan tiada mana-mana negara sekalipun di dunia yang ada pusat sehenti seperti UTC di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak, di sini, malam tadi.

 

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke negeri ini bagi meninjau perkembangan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur dilaksanakan kerajaan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.

 

Najib berkata, beliau amat komited untuk bekerjasama dengan Ketua Menteri dan semua pemimpin di negeri ini bagi menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negeri ini.

 

“Kalau hasil (negara) kita bertambah, termasuk melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan sebagai penggantian cukai lama, kita akan melakukan yang terbaik untuk negeri ini dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

 

Terdahulu, Adenan berkata, Sarawak memerlukan lebih banyak Pusat UTC, begitu juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan sejajar dengan saiz negeri ini yang amat luas.

 

“Selepas Kuching, kita berharap kemudahan sama dapat dibawakan ke bandar utama lain, begitu juga kawasan luar bandar dalam usaha memudahkan kehidupan rakyat.

 

“Kita yakin perkara ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh Perdana Menteri sejajar dengan komitmen beliau ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini, khususnya penduduk luar bandar,” katanya.

 

Adenan berkata, penyediaan kemudahan itu juga jelas membuktikan kesungguhan kerajaan menangani pelbagai kerenah membabitkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

 

“Jika dulu, kita mahu buat pasport, kita perlu ke Jabatan Imigresen, jika mahu buat kad pengenalan (MyKad), kita perlu ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Kita ‘berpusing-pusing’ (ke pejabat kerajaan) sangat menyusahkan, ia mengambil masa dan kos pengangkutan.

 

“Dengan adanya UTC, semua urusan boleh dilakukan di bawah satu bumbung. Bukan hanya menjimatkan masa, malah kemudahan disediakan cukup selesa,” katanya.

 

Dibangunkan dengan kos RM45.8 juta, UTC Sarawak yang disiapkan dalam tempoh 12 minggu adalah kemudahan kelapan seumpamanya diwujudkan di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.