Pembinaan Balai Polis Beladin Diluluskan

Pusa (Sarawak) – Kerajaan meluluskan pembinaan sebuah balai polis di Beladin, iaitu kira-kira 12 kilometer dari sini yang dijangka dapat dimulakan pembinaannya hujung tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurut Najib, tender bagi pembinaan balai polis itu akan dikeluarkan September depan.

 

“Barang kali pada hujung tahun ini, jika tidak ada apa-apa aral melintang, projek ini boleh kita mulakan,” katanya.

 

Najib membuat pengumuman tersebut semasa melancarkan projek pembinaan sebuah dewan masyarakat di Beladin, hari ini.

 

Menurut Najib, pembinaan balai polis tersebut adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

 

Mengenai pembinaan dewan masyarakat bernilai RM3.6 juta yang dapat memuatkan sehingga 1,000 orang dan mempunyai tiga gelanggang badminton, Najib berkata kerajaan telah memenuhi hasrat penduduk Beladin.

 

Projek pembinaan dewan di atas tanah seluas 1.5 hektar di hadapan Masjid Beladin Al-Amin itu diluluskan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Beladin dua tahun lalu.

 

Katanya, projek itu merupakan antara kejayaan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional dan merupakan nikmat yang dikecapi Sarawak yang merdeka dalam Malaysia.

 

“Kita tak janjikan bulan dan bintang. Kita janjikan yang mampu kita tunaikan. Inilah kredibiliti kita,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

 

Justeru, beliau meminta rakyat agar menilai sendiri siapa yang benar-benar membantu, menepati janji dan boleh menjadi tempat untuk mereka bergantung harap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.