MH17: Visual Baru Militia Bersenjata Geledah Lokasi Kejadian Dan Bagasi

Kuala Lumpur – Satu visual baru yang dirakam menggunakan telefon pintar muncul, menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjata menggeledah serpihan bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan bagasi penumpang, beberapa minit selepas ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, pada 17 Julai tahun lalu.

 

Menurut laporan news.com.au, rakaman selama 23 minit itu ditemui kumpulan penyiasat tragedi MH17 dan ia telah disaksikan News Corp Australia.

 

Rakaman itu dikatakan telah diseludup keluar dari Ukraine, sebelum ia sampai ke tangan kumpulan penyiasat MH17.

 

Dalam visual itu, sekumpulan anggota militia dilihat berjalan ke lokasi pesawat itu terhempas, dengan asap menjulang daripada serpihan bangkai yang masih terbakar.

 

Ada di kalangan anggota militia itu mengatakan pesawat berkenaan tidak kelihatan seperti pesawat pengangkut Antonov milik Tentera Udara Ukraine, sebelum logo MAS kelihatan dan anggota militia sibuk menyelongkar bagasi yang bertaburan di tempat kejadian.

 

Menurut laporan berita itu, visual berkenaan turut mengandungi imej grafik mayat manusia yang jelas kelihatan.

 

Kumpulan anggota militia itu yang pada mulanya kelihatan agak gembira menjadi sedih dan muram, apabila sedar ia adalah sebuah pesawat penumpang, bukannya pesawat tentera seperti disangkakan mereka.

 

Menurut portal berita itu, visual itu ternyata bercanggah dengan dakwaan kumpulan pemberontak yang disokong Rusia, kononnya lokasi MH17 terhempas dan bagasi penumpang tidak diusik, serta mereka tidak tahu apa yang berlaku dan mengesyaki kejadian itu didalangi Ukraine.

 

Setakat ini, tiada pihak rasmi yang terbabit dalam penyiasatan tragedi MH17 mengulas tentang rakaman itu.

 

Satu transkrip juga dikatakan telah dihasilkan daripada visual itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.